RLAF kumpul dana lebih $2j bagi mangsa gempa Turkey, Syria
RLAF kumpul dana lebih $2j bagi mangsa gempa Turkey, Syria

YAYASAN Rahmatan Lil Alamin (RLAF) telah mengumpul lebih $2 juta dalam inisiatif pengumpulan dana. Kutipan dana itu telah berlangsung selama dua minggu dari 10 hingga 24 Februari 2023, bagi mangsa gempa di Turkey dan Syria. Sebanyak $1 juta telah disalurkan kepada pertubuhan bukan pemerintah (NGO) di Turkey, Hayrat Yardim. RLAF telah membantu menyelaraskan respons pantas kepada keperluan mangsa dengan segera dan memberi bantuan menyelamatkan mangsa secepat mungkin, sejurus setelah kelulusan Pesuruhjaya Pertubuhan-pertubuhan Amal (CoC), kata RLAF dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Khamis (2 Mac). RLAF akan memindahkan baki dana yang dikumpulkan menyusuli pengumpulan terakhir jumlah kutipan dan kelulusan lanjut yang diperolehi daripada CoC. Mematuhi peraturan dan sebagai sebahagian daripada tadbir urus baik badan amal berdaftar yang diberikan status Institusi Bertaraf Awam (IPC), RLAF juga akan melalui pensijilan audit dan laporan itu akan dikemukakan kepada CoC. Menerusi kenyataan itu, RLAF mengucapkan terima kasih kepada semua individu dan kumpulan yang telah tampil dan menyumbang dengan murah hati kepada kempen ini.

