Topik diikuti
Pergi ke BHkuRombongan Mendaki jaya ke puncak Gunung Fansipan
Rombongan Mendaki jaya ke puncak Gunung Fansipan
Rombongan Mendaki jaya ke puncak Gunung Fansipan
SA PA (Vietnam): Sekumpulan 38 pendaki, kebanyakannya dari Singapura, telah berjaya mendaki ke puncak Gunung Fansipan di Sapa, Vietnam, pada 10 pagi (11 pagi waktu Singapura) Sabtu (27 Oktober), sebahagian usaha menyokong Dana Amanah Pendidikan (ETF) Yayasan Mendaki.
Rombongan itu mengambil masa sekitar 14 jam untuk sampai ke puncak gunung setinggi lebih tiga kilometer yang terletak di utara Vietnam itu.
Wartawan Berita Harian (BH) Nur Fathin Awalludin, yang turut menganggotai rombongan itu, berkata mereka memulakan pendakian sekitar 12 tengah hari pada 26 Oktober, sebelum berhenti untuk berehat pada 9 malam.
Rombongan itu, yang diketuai oleh Cik Nur Yusrina Ya'akob, - wanita Melayu pertama yang menawan puncak Everest - menyambung semula pendakian sekitar 5 pagi tadi dan tiba ke puncak selepas pendakian lima jam.
Dua daripada kumpulan 40 pendaki asal tidak melengkapkan pendakian yang dilakukan pada suku sekitar 17 darjah Celsius itu.
Salah seorang daripada pendaki itu mengalami kecederaan kaki dan tidak dapat meneruskan pendakian. Beliau ditemani turun oleh seorang pendaki lain, sebelum kededuanya menaiki kereta kabel untuk menyertai rombongan di puncak.
Rombongan pendaki itu, antara lain dibentuk kakitangan Mendaki, sukarelawan dan pelajar, termasuk yang menerima bantuan menerusi ETF. Ia turut disertai pendaki dari Nepal, Bhutan, India dan Malaysia.
Pendakian itu sebahagian usaha Mendaki untuk mengumpul dana dan meningkat kesedaran awam tentang ETF.
Ia berharap mengumpul lebih $50,000 - yang mencerminkan jumlah langkah yang perlu diambil untuk mendaki Gunung Fansipan - menerusi acara itu.
Orang ramai diminta memberi sokongan dengan mendermakan $1 bagi setiap langkah yang diambil rombongan itu menerusi laman https://mendaki.give.asia/campaign/etfstepschallenge.
Diperkenal pada 2002, ETF telah mengagih lebih $22 juta kepada 91,000 pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah.
Ikuti pendakian rombongan ini menerusi lensa peribadi Cik Nur Fathin di Instagram @fathin.bh dan ikuti liputan khas di beritaharian.sg.
*Artikel ini telah disemak bagi menambah ketepatannya.