Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

RSAF sertai latihan tempur udara ‘Pitch Black’ di Australia

Jul 23, 2024 | 2:33 PM
Pesawat pejuang F-15SG RSAF berlatih bersama pesawat F-22 Angkatan Udara Amerika Syarikat dalam Latihan Pitch Black 2024.
Pesawat pejuang F-15SG RSAF berlatih bersama pesawat F-22 Angkatan Udara Amerika Syarikat dalam Latihan Pitch Black 2024. - Foto MINDEF

DARWIN (Australia): Sebanyak 140 pesawat dan lebih 4,400 kakitangan dari 20 negara berkumpul di utara Australia bagi ‘Latihan Pitch Black’, satu latihan tempur udara berbilang negara yang berlangsung setiap dua tahun.

Tentera Udara Republik Singapura (RSAF) menghantar 450 anggota ke Australia untuk latihan edisi 2024 itu, yang menjadikannya salah satu kontinjen asing terbesar selepas tuan rumah Australia, lapor The Straits Times.

Aset RSAF dalam latihan itu terdiri daripada empat F-15SG, enam F-16C/D, sebuah pesawat Amaran Awal Udara G550 dan sebuah pesawat Pengangkutan Tangki Pelbagai Peranan (MRTT) A330.

Ia juga menghantar beberapa sistem pertahanan udara berasaskan darat, dengan sistem radar Shikra, Radar Pelbagai Misi, Aster 30 dan Spyder angkatan itu turut menyertai latihan tahun ini.

Kontinjen RSAF diketuai pengarah latihan, Kolonel Lee Mei Yi, yang berkata penyertaan Singapura penting kerana ia meningkatkan keupayaan RSAF beroperasi bersama rakan antarabangsanya sambil mengasah kecekapan operasinya.

Interaksi RSAF dengan F-35 yang mengambil bahagian di sana juga akan membantu ia lebih memahami operasi bersama pesawat pejuang siluman itu sebelum menerbangkan F-35A dan F-35B miliknya sendiri, kata Kolonel Lee, pengarah latihan wanita pertama Republik ini dalam ‘Latihan Pitch Black’.

Republik ini dijangka menerima penghantaran empat F-35B pertamanya pada 2026, kata Menteri Pertahanan, Encik Ng Eng Hen, semasa pembentangan Belanjawan kementeriannya pada Februari 2024.

Dr Ng juga mengumumkan Singapura akan memperoleh lapan pesawat pejuang F-35A, yang akan melengkapkan sedozen F-35B yang telah dipesannya sebelum ini daripada pembuat pesawat siluman generasi kelima, Lockheed Martin.

Latihan berbilang negara selama tiga minggu itu menyediakan persekitaran latihan realistik dan mencabar untuk tentera udara yang mengambil bahagian bekerjasama menentang ancaman simulasi dalam senario seperti pertempuran udara ke udara, pertempuran udara ke darat, serta pengawasan dan misi peninjauan dalam keadaan siang dan malam, kata Mindef dalam satu kenyataan.

Sebagai sebahagian kontinjen media, The Straits Times telah menaiki misi RSAF A330 MRTT yang terbang dari Queensland pada 5.30 pagi pada 22 Julai, menuju ke ruang udara latihan di Darwin, ibu negara Wilayah Utara Australia.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg