
PENDUDUK di utara Singapura boleh menikmati kemudahan baru di stesen MRT Woodlands di laluan Thomson-East Coast (TEL) setelah satu ruang beli-belah dilancarkan semalam.
Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Tenaga Manusia), Encik Zaqy Mohamad turut hadir dalam majlis pelancaran itu.
Dalam ucapannya, Encik Zaqy berharap ruang itu akan dapat sambutan baik daripada penduduk yang menggunakan laluan itu.
"Ini adalah inisiatif yang baik, di mana terdapatnya ruang berniaga dan berkongsi dan merancakkan (ruang ini).
"Sedang ekonomi kembali pulih dan orang ramai telah kembali, ini akan menambah semangat kepada penduduk dan mereka yang menggunakan khidmat di stesen MRT Woodlands dan laluan TEL," kata beliau, yang juga Anggota Parlimen (AP) bagi GRC Marsiling-Yew Tee.
Turut bersamanya dalam acara pelancaran itu adalah Pengerusi SMRT Corporation, Encik Seah Moon Ming, serta kakitangan daripada SMRT Corporation; NTUC Fairprice; syarikat urusan dari Jepun, Stellar SG-JP Retail Pte Ltd; dan relawan akar umbi dari GRC Marsiling-Yew Tee.
Mereka telah menyaksikan persembahan gendang Taiko daripada Yamaha Music (Singapura) semasa acara pelancaran itu.
Ini relevan dengan konsep 'ekinaka' yang bermakna 'di dalam stesen' dalam bahasa Jepun, di mana ia mengutamakan pengguna serta penglibatan masyarakat untuk memupuk persekitaran yang kondusif bagi semua pihak yang dapat memanfaatkan ruang itu.
Demi melibatkan usaha kemasyarakatan di ruang itu, lebih daripada 700 penduduk di GRC Marsiling-Yew Tee telah mengundi untuk memberikan namanya.
Mereka telah memilih nama Stellar@TE2, iaitu gabungan kod pengenalan stesen MRT Woodlands di laluan TEL dan syarikat urusan dari Jepun, Stellar SG-JP Retail Pte Ltd itu.
Ruang lebih 1,560 meter persegi itu bakal menawarkan pilihan makanan dan minuman, pasar raya, perkhidmatan kecantikan, klinik tradisional Cina dan moden, serta pusat gaya hidup bekerjasama. Setakat ini, terdapat 20 penyewa di ruang itu.
Penyedia rawatan dialisis swasta terbesar Singapura, Fresenius Kidney Care, juga akan membuka pintunya di ruang itu untuk memberi perkhidmatan kepada penduduk Woodlands, sesuatu yang tidak pernah diadakan di rangkaian MRT.
Ruang 'pop-up' masyarakat yang bakal diadakan juga termasuk sebuah pusat pengambilan relawan oleh GRC Marsiling-Yew Tee, serta ruang muzik di mana orang ramai bolen bermain piano yang disumbangkan oleh Yamaha Music (Singapura) dan dihiasi oleh pelajar Politeknik Republik.
Kedua-dua ini akan diadakan di ruang 'pop-up' itu, yang akan berlangsung selama sebulan.
Presiden Stellar Lifestyle, Encik Tony Heng, berkata usaha kemasyarakatan di ruang itu ditonjol melalui penglibatan lebih 700 penduduk di sana yang memilih namanya.
"Kami mahu membina semangat kemasyarakatan yang kukuh, dan ini ditunjukkan dalam pemilihan makanan di tempat makanan dan minuman (F&B), yang diterajui syarikat kecil dan sederhana (SME), barangan runcit dan perkhidmatan perubatan, untuk memberi perkhidmatan yang lebih baik kepada penumpang dan masyarakat melalui usaha perwujudan tempat kami," kata Encik Heng.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg