Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Rudy Marican jelas niat timbul isu pendidikan suami isteri tidak setaraf

Hantaran ‘pedas’ peguam terkenal di media sosial cetus kemarahan netizen
Nov 6, 2024 | 11:46 AM
Peguam, Encik Rudy Marican, berdepan pelbagai reaksi setelah memuat naik hantaran di media sosial yang disifatkan ‘pedas’ apabila beliau mempersoalkan mengapa wanita berkahwin dengan lelaki yang berpendidikan lebih rendah.
Peguam, Encik Rudy Marican, berdepan pelbagai reaksi setelah memuat naik hantaran di media sosial yang disifatkan ‘pedas’ apabila beliau mempersoalkan mengapa wanita berkahwin dengan lelaki yang berpendidikan lebih rendah. - Foto FACEBOOK RUDY MARICAN

Kecoh di media sosial baru-baru ini apabila seorang peguam terkenal memuat naik hantaran di media sosial yang disifatkan ‘pedas’, sekali gus mencetuskan amarah netizen.

Hantaran Encik Rudy Marican, di media sosial itu menyentuh isu mengenai wanita berpelajaran tinggi namun memilih pasangan yang tidak setaraf.

Selebriti dan warganet turut memberi pandangan mereka mengenai isu tersebut.

Dalam temu bual bersama Berita Harian (BH) melalui telefon, Encik Rudy bertegas dengan pendiriannya.

“Seluruh Singapura ada nombor telefon bimbit saya. Saya beri konsultasi percuma, saya berikan masa untuk membantu mereka yang memerlukan.

“Saya tidak mahu lagi dengar masalah yang sama; wanita menuntut cerai, hak nafkah, wanita yang dibantai suami, ibu yang terpaksa menyaman anak kerana tidak dapat duit.

“Apabila saya berhadapan dengan kes-kes sebegini, ia membuat saya sangat sedih,” ujar Encik Rudy, yang berpengalaman 27 tahun sebagai peguam.

Pada 3 November, antara lain, Encik Rudy menulis di Facebook:

“Wanita, saya tak faham, kalau kau dah belajar tinggi-tinggi hingga ke universiti, masters (peringkat sarjana), PhD (Doktor Falsafah) untuk pastikan masa depan kau terjamin dan gaji kau lumayan dan kau boleh jaga mak bapak kau dengan baik, KENAPA PULAK KAU KAHWIN JANTAN YANG (Sijil Am Pelajaran atau GCE) ‘O’ LEVEL pun tak pass (lulus)? Tak fahamlah! Kenapa ni! KAU DESPERATE (terdesak) sangat nak title ‘wife’ (gelaran isteri)?

“Kalau saya seorang doktor, saya TIDAK AKAN berkahwin dengan seorang wanita yang hanya berkelulusan ITE (Institut Pendidikan Teknikal) kerana… bagaimana beliau akan menjadi seorang ibu yang baik dengan kelulusan dan ilmu yang cetek?”

Hantaran di akaun media sosial Facebook peguam, Encik Rudy Marican, yang mempersoal mengapa kaum wanita yang berpelajaran tinggi memilih pasangan berpendidikan lebih rendah.
Hantaran di akaun media sosial Facebook peguam, Encik Rudy Marican, yang mempersoal mengapa kaum wanita yang berpelajaran tinggi memilih pasangan berpendidikan lebih rendah. - Foto TANGKAP LAYAR FACEBOOK RUDY MARICAN
Kata-kata ‘pedas’ mengundang kontroversi dan reaksi daripada masyarakat Melayu di sini.
Kata-kata ‘pedas’ mengundang kontroversi dan reaksi daripada masyarakat Melayu di sini. - Foto TANGKAP LAYAR FACEBOOK RUDY MARICAN

Hantaran itu mengundang reaksi dan tindak balas daripada pelbagai lapisan masyarakat.

Kenyataan Encik Rudy turut mengundang respons daripada selebriti tempatan seperti Haryani Othman dan Huda Ali, yang memberi penghormatan kepada suami mereka yang bertanggungjawab walaupun tidak berpelajaran tinggi.

Seorang pengguna FB dan guru pusat tuisyen yang dikenali sebagai Encik Ahmad Salik, lulusan ijazah sarjana muda dari Universiti Nasional Singapura (NUS) membalas dengan hantaran di akaun FB beliau:

“Cukup-cukuplah kutuk budak-budak ITE. Lain dulu, lain sekarang. Ramai ibu bapa yang tak ada degree (ijazah sarjana muda) tapi mampu hantar anak-anak mereka pergi tuisyen. Mereka pun kerja keras dan tunjukkan contoh yang baik.

“Mungkin sistem pendidikan yang kita ada sekarang tidak sesuai untuk mereka. Bukan bererti mereka bengap atau kurang pandai. Tak adil langsung kalau mereka distereotaip sebagai insan tak berguna yang tak layak kahwin atau jadi imam keluarga.”

Lebih 600 komen telah ditinggalkan dalam hantaran Encik Rudy, dan sejauh ini telah dikongsikan oleh 1.4 ribu pengguna.

Encik Rudy cukup dikenali dalam kalangan masyarakat Melayu/Islam di sini, dan pernah mengacarakan rancangan popular Rudy & Rilla untuk saluran Suria Mediacorp.

Kini, beliau masih menyumbangkan masanya sebagai penasihat undang-undang di radio Warna bersama penyampai radio, Sue Kassim.

Menyusuli hantaran Encik Rudy itu, timbul dua golongan utama yang mempunyai pendapat berbeza.

Ada yang menyokong hantaran Encik Rudy dan memahami isi kandungan yang dimaksudkan.

Antaranya ialah Cik Roza Jusmal, yang menulis di ruang komen:

“Saya dah lama mengikutinya (Rudy), dan saya tahu niatnya baik. Kata-katanya mungkin kasar, tetapi bersebab – untuk mencapai objektif supaya masyarakat faham punca (masalah).”

Encik Rudy, yang terkenal dengan suaranya yang lantang, berkata:

“Saya bukanlah orang yang sombong, dan tahu kata-kata saya boleh menyakiti sebilangan masyarakat, tetapi niat saya untuk memperbaiki keadaan dan mencegah perceraian dan masalah keluarga daripada terus berlaku.

“Seorang doktor akan memberitahu pesakitnya cara-cara untuk mengelakkan daripada penyakit.

“Saya seorang peguam, saya di sini bukan sahaja ingin menyelesaikan kerumitan rumah tangga, malah saya mahu lihat pada puncanya, dan mahu masyarakat faham dan buat perubahan yang sewajarnya.”

Antara mereka yang terkesan dengan cara Encik Rudy menyampaikan hujahnya, ialah Encik Sufiyan Mohd Shafiee, 35 tahun, yang berkongsi pandangannya kepada BH.

“Ibu saya kelulusan ijazah sarjana muda dari Cambridge, Britain, bapa saya hanya pemegang diploma, tetapi mereka berjaya membesarkan saya dan abang saya. Saya mempunyai kelulusan sarjana, dan abang saya ialah seorang doktor.

“Encik Rudy mungkin ada niat yang baik, tetapi niat tidak halalkan cara.”

Usahawan dan mantan pensyarah, Cik Oniatta Effendi, juga telah memberikan ulasannya tentang hantaran Encik Rudy yang dianggap ‘bermasalah’.

“Catatan peguam itu bukan sahaja bermasalah – ia adalah kes buku teks elitisme dan mengetepikan secara terang-terangan adab, serta nilai-nilai yang sepatutnya menyokong kata-kata dan tindakan kita.

“Bagi seseorang yang berkedudukan sebagai pemimpin dalam masyarakat, ini adalah sesuatu yang mengecewakan,” kata Cik Oniatta.

Encik Rudy menambah:

“Saya bukan buat ini untuk menjadi popular, atau inginkan perhatian, atau berasa saya lebih pandai.

“Niat saya hanya satu – (menyampaikan mesej) masyarakat Melayu perlu ilmu. Saya mahu lihat lebih banyak generasi muda berjaya. Jangan jadi masyarakat yang mundur,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg