Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Rugi hingga $100,000 dek beli, sewa mesin layan diri; pemilik nafi tawar skim ‘penipuan’

Jul 3, 2024 | 5:00 PM
Cik Rabiahtul Adawiyah Amat, 37 tahun, menguruskan perniagaan dari rumah, With Love by Umairah, yang menjual produk kosmetik dan solekan dan telah menempah dua mesin daripada syarikat One Vibes Nation Vending & Franchise Management pada lewat 2020 untuk menjual produknya di beberapa lokasi tertentu di Singapura.
Cik Rabiahtul Adawiyah Amat, 37 tahun, menguruskan perniagaan dari rumah, With Love by Umairah, yang menjual produk kosmetik dan solekan dan telah menempah dua mesin daripada syarikat One Vibes Nation Vending & Franchise Management pada lewat 2020 untuk menjual produknya di beberapa lokasi tertentu di Singapura. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Beberapa syarikat yang dimiliki seorang wanita Singapura yang menjual dan menyewa mesin layan diri mendapat perhatian selepas sebilangan pelanggan beliau meminta deposit mereka dikembalikan apabila tempahan mereka berkaitan mesin berkenaan didakwa gagal ditunaikan sepenuhnya.

Tinjauan Berita Harian (BH) ke atas lebih 10 individu yang terjejas mendapati jumlah kerugian didakwa mencecah dari $5,000 hingga lebih $100,000 setiap individu bagi kontrak-kontrak yang dimeterai antara 2020 hingga 2024. Setiap mesin berharga $5,000 hingga $75,000.

Sebanyak 10 laporan polis juga telah dibuat berhubung syarikat dimiliki Cik Aida Amanda A Atan – One Vibes Nation Vending & Franchise Management; One Vibes Nation Vending & Advisory; Clean by One Vibes Nation dan Match & Scale. Tiga syarikat pertama tersebut adalah syarikat sama namun telah bertukar nama, jelas Cik Aida.

Siasatan sedang dijalankan, kata polis apabila dihubungi BH.

Pada November 2021, One Vibes Nation Vending & Franchise Management turut diarahkan melunaskan bayaran lebih $16,400 selepas mahkamah meluluskan tuntutan menerusi Tribunal Tuntunan Kecil (SCT) kepada seorang pelanggan.

Pelanggan tersebut, Cik Rabiahtul Adawiyah Amat, 37 tahun, yang menempah dua mesin layan diri daripada syarikat itu pada Oktober dan November 2020 mendakwa bahawa dalam kontrak mesin tersebut ditetapkan akan sampai dalam enam hingga lapan minggu, namun tidak diterimanya atas alasan sekatan pandemik Covid-19.

“Kemudian pelbagai pilihan lain ditawar seperti menyewa mesin sedia ada untuk membantu perniagaan saya sementara menunggu mesin itu tiba. Tetapi itu tidak berhasil,” dakwanya.

Setakat ini, menurutnya, hanya sekitar separuh wang itu dikembalikan.

Syarikat One Vibes Nation Vending & Franchise Management menawarkan khidmat pembelian mesin layan diri bagi pelanggan yang mahu memiliki mesin itu untuk diurus sendiri atau disewakan kepada orang lain.

Antara syarat kontrak yang dilihat BH adalah bayaran bagi mesin tidak boleh dikembalikan dan mesin tersebut dijangka dapat dihantar dalam masa sehingga lapan minggu selepas pembayaran.

Masalah muncul ekoran dakwaan penangguhan penghantaran, gagal mendapat kelulusan daripada tuan tanah untuk meletak mesin untuk berniaga, atau gagal mendapat penyewa.

Pemilik mesin layan diri itu kemudian didakwa membuat keputusan mahu membatalkan kontrak dan meminta deposit kembali.

Daripada mematuhi syarat kontrak, Cik Aida memberi pilihan agar mesin layan diri yang ditempah itu dijual kepada pembeli lain dengan harga lebih tinggi, dengan hasil penjualan itu diguna untuk melunaskan deposit.

Namun pelanggan mendakwa proses itu mengambil masa terlalu lama.

Seorang pemilik yang enggan namanya disiarkan mendakwa keluarganya kehilangan lebih $100,000 bagi tempahan beberapa mesin layan diri.

Daripada sekitar 10 pelanggan ditinjau BH, hanya satu pasangan rakan perniagaan mendapat wang mereka kembali setelah mesin mereka dijual.

Susulan beberapa tuduhan tersebut, termasuk dua pelanggan yang didakwa mendedahkan perkara ini sebagai satu “penipuan” di media sosial, Cik Aida menafikan beliau menawarkan skim “penipuan” atau skim cepat kaya.

Beliau berkata kepada BH: “Kalau saya ingin menipu, saya boleh sahaja mengambil duit daripada ratusan klien dan melarikan diri. Tetapi saya masih berada di sini, dan akan cuba menjual mesin mereka untuk mendapatkan wang mereka kembali.”

Memberi pendapatnya, peguam dan pemilik firma guaman A. Rohim Noor Lila LLP, Encik Abdul Rohim Sarip, berkata kes ini mungkin melibatkan pelanggaran syarat kontrak.

“Pihak-pihak terbabit memeterai perjanjian dengan mata terbuka dan sedar terhadap syarat kontrak yang ditetapkan. Jadi pembeli perlu berhati-hati,” katanya.

Encik Rohim berkata apabila syarikat terbabit itu gagal memenuhi perjanjian kontrak dan pelanggan mahu wang mereka dikembalikan, persetujuan selanjutnya perlu berdasarkan syarat kontrak atau apa yang dicatatkan dalam perjanjian.

“Pihak terbabit boleh melakukan tindakan undang-undang berdasarkan perjanjian itu dan syarikat itu perlu melunaskan bayaran bagi kerugian yang ditanggung kerana kegagalan syarikat itu dalam memenuhi syarat kontrak seperti tidak dapat menghantar mesin itu pada masa yang dipersetujui.”

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg