Rumah Terbuka Angkatan Udara Republik Singapura (RSAF) tahun ini akan memperkenalkan konsep unik baru yang dipanggil ‘fizikal-digital’, atau phygital untuk memberikan pengalaman lebih mengasyikkan dan diperibadikan kepada pengunjung.
Buat kali pertama dalam tujuh tahun, Rumah Terbuka RSAF akan diadakan pada hujung minggu, 9 dan 10 September, antara 9 pagi hingga 6 petang di Pangkalan Udara Paya Lebar.
Untuk menjadikan pengalaman mereka lebih unik, pengunjung akan diberikan sekeping token yang boleh digunakan untuk menyertai permainan phygital di rumah terbuka itu.
Apabila pengguna mengimbas kod QR yang dicetak di token itu menggunakan telefon pintar, mereka akan dibawa ke sebuah aplikasi web digital yang membolehkan mereka mendapatkan maklumat dan mengambil bahagian dalam kegiatan interaktif.
Pengguna boleh mendaftar akaun baru dan mencuba kegiatan yang tersedia untuk mula mendapatkan syiling digital dan mata pengalaman atau ‘experience point’ (XP).
Orang ramai boleh mendapatkan XP dengan bermain permainan phygital yang terdapat di pelbagai reruai permainan. Mereka kemudian boleh menebus syiling digital dan XP itu untuk mendapat hadiah dan ganjaran menarik.
Token tersebut beroperasi dengan memanfaatkan komunikasi Perhubungan Jarak Dekat (NFC), yang merupakan teknologi hubungan tanpa wayar jarak dekat. Pengguna hanya perlu meletakkan token mereka di atas pembaca NFC untuk bermula bermain permainan.
Antara permainan tersebut adalah sebuah stesen simulasi di mana orang ramai boleh mengemudi sebuah pesawat maya, memberi peluang kepada orang umum untuk mengetahui bagaimana rasanya mengemudi sebuah pesawat.
Kanak-kanak yang gemar bermain permainan menembak juga berpeluang mencuba simulasi Sistem Robot 70 (RBS70) di mana mereka boleh menembak pesawat musuh daripada memasuki kawasan terbang Singapura.
Reruai-reruai permainan tersebut terletak di tiga dewan pameran, yang masing-masing mempamerkan aspek berbeza RSAF.
Di dewan pertama, pengunjung boleh mempelajari tentang sejarah RSAF selama 55 tahun lepas dan bagaimana ia telah berubah menjadi angkatan udara moden dan berkebolehan.
Dewan kedua pula akan mempamerkan kerjaya berbeza RSAF bagi meningkatkan kesedaran di kalangan orang ramai tentang tugas dan tanggungjawab kerjaya masing-masing.
Kanak-kanak juga boleh bergambar di dalam dewan ini sambil memakai seragam RSAF berbeza, seperti seragam juruterbang dan seragam nombor empat berlengan panjang.
Di samping itu, pameran di dewan ketiga akan mempamerkan visi RSAF untuk sebuah pangkalan udara pada masa depan. Ia akan menunjukkan beberapa inisiatif dan teknologi yang berpandangan ke hadapan.
Selain daripada tiga pameran dewan tersebut, rumah terbuka RSAF juga akan memperagakan 18 aset berbeza, termasuk pesawat pejuang F-15SG dan salah satu helikopter terbaru, helikopter ‘Medium Lift’ H225M, yang membuat penampilan sulungya di Perbarisan Hari Kebangsaan pada 9 Ogos lalu.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg