SAF, Tentera Darat Diraja Brunei selesai Latihan Maju Bersama
SAF, Tentera Darat Diraja Brunei selesai Latihan Maju Bersama
Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) dan Angkatan Tentera Darat Diraja Brunei (RBLF) telah selesai menjalankan edisi ke-28 Latihan Maju Bersama dari 22 hingga 29 Januari di Penanjong Garrison, Brunei Darussalam.
Kementerian Pertahanan (Mindef), dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada 30 Januari, berkata kira-kira 240 anggota dari Ibu Pejabat, Briged Infantri ke-2 Singapura, Batalion Pertama, Rejimen Infantri Singapura dan Batalion Pertama RBLF telah mengambil bahagian dalam latihan dua hala itu.
Latihan Maju Bersama tahun ini terdiri daripada perkongsian sistem senjata, operasi bandar dan latihan gabungan latihan lapangan.
Ia juga menggariskan 50 tahun hubungan pertahanan yang rapat dan lama antara Singapura dengan Brunei Darussalam.
Berucap pada majlis penutup, Panglima Tentera Darat Mejar Jeneral (MG) Cai Dexian berkata latihan dua hala itu merupakan asas hubungan antara RBLF dengan SAF.
“Latihan Maju Bersama menyediakan peluang pembelajaran yang berharga untuk unit-unit kami bagi memperkukuhkan hubungan profesional, bertukar amalan terbaik, dan menjalin saling kebolehoperasian yang lebih kukuh.
“Paling penting, latihan sedemikian membantu membina persahabatan yang kukuh dan kepercayaan bersama antara askar kami.
“Dibina daripada pengalaman bersama dan latihan yang sukar, persahabatan ini berfungsi sebagai asas yang kukuh untuk hubungan dua hala kami yang lebih luas, dan selalunya bertahan seumur hidup,” kata MG Cai.
Selain Latihan Maju Bersama, kededua angkatan tentera juga berinteraksi secara berkala melalui latihan dua hala lain seperti Latihan Pelican dan Latihan Airguard, serta lawatan berkala, kehadiran silang kursus, dan pertukaran profesional.
Pada 12 Januari, SAF dan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (RBAF) telah melancarkan Logo SG-BRU 50 bagi memperingati hubungan 50 tahun pertahanan antara kededua negara.
2026 menandakan ulang tahun ke-50 hubungan pertahanan antara Singapura dengan Brunei Darussalam.
Logo tersebut melambangkan hubungan erat yang dibina atas pengiktirafan bersama, kepercayaan, dan kesetiaan antara Singapura dengan Brunei Darussalam.
Ia juga akan dipakai oleh anggota SAF dan RBAF semasa interaksi dua hala antara kededua tentera itu sepanjang tahun.

