Sahut cabaran celik digital
Dah tahu guna WhatsApp, Facebook, kini warga emas belajar e-pembayaran
CIK Mahani Mohammed Ali, 71 tahun, pekerja pembersihan, sudah tahu bagaimana hendak menghantar mesej melalui aplikasi WhatsApp atau melayari laman media sosial, Facebook.
Namun, beliau keliru tentang kaedah e-pembayaran seandainya beliau hendak membeli makanan di pusat makanan melalui Kod Respons Pantas Singapura (SGQR), membeli barang di dalam talian atau membayar melalui aplikasi PayNow atau PayLah!.
Justeru, Cik Mahani tidak teragak-agak menerima tawaran untuk menyertai program pembelajaran Gerakan Transformasi Digital untuk Warga Emas apabila seorang Duta Digital datang ke rumah dan memberitahunya tentang program tersebut pada Mac lalu.
Menurut Cik Mahani, beliau telah pergi ke hab masyarakat SG Digital di Kelab Masyarakat Toa Payoh Central untuk menyertai program pembelajaran digital itu sebanyak tiga kali seminggu selama dua hingga tiga jam selepas waktu kerjanya.
Di dalam kelas itu, beliau mendapat bimbingan seorang jurulatih yang memberi tunjuk ajar melalui telefon bijaknya.
"Saya nak belajar juga macam mana hendak download aplikasi, imbas kod QR dan guna PayNow. "Saya ada juga tanya anak dan cucu saya macam mana hendak download aplikasi. Saya suruh mereka ajar. Mereka ada tunjukkan tetapi kalau ada peluang belajar sendiri, saya fikir lebih baik saya pergi belajar," kata Cik Mahani yang mempunyai dua anak dan lapan cucu.
Gerakan Transformasi Digital untuk Warga Emas, anjuran Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA) dan Pejabat Digital SG (SDO), ialah program yang direka khas untuk membantu warga emas dalam perjalanan digital mereka.
Program pembelajaran itu akan membimbing warga tua dalam tiga tahap kemahiran digital iaitu kemahiran komunikasi di mana mereka mempelajari cara menggunakan alat komunikasi asas dan membuat panggilan video; menggunakan perkhidmatan digital pemerintah seperti SingPass mobil untuk SafeEntry; dan berkenaan e-pembayaran supaya mereka tahu menggunakan kod SGQR, aplikasi perbankan Internet dan tip tentang keselamatan siber.
Melalui kelas digital tersebut, Cik Mahani kini mendapat pengetahuan tentang cara memuat turun aplikasi dan cara menggunakan e-pembayaran seperti kod SGQR dan PayNow.
Katanya lagi, beliau menggalakkan warga emas lain menyertai program pembelajaran tersebut. "Program digital ini memang bagus diadakan untuk warga tua kerana sekurang-kurangnya, kita tahu tentang perkembangan terkini di Singapura. Kita juga boleh belajar perkara baru," kata Cik Mahani.
Golongan warga emas yang memenuhi kriteria kelayakan yang menyertai program pembelajaran Gerakan Transformasi Digital untuk Warga Emas ini juga boleh membeli telefon bijak dan pelan mobil bersubsidi melalui skim Akses Mobil untuk Warga Emas.
Warga emas yang sukar bergerak belajar digital untuk manfaatkan kemudahan
MENJAGA suami yang sakit dan merawati tempurung lutut yang baru diganti dengan pembedahan membuat Cik Jamaliah Ibrahim, 67 tahun, suri rumah, kadangkala sukar bergerak bebas untuk ke kedai.
Namun, beliau tahu kaedah digital boleh memberi kemudahan pada dirinya, termasuk membolehkan beliau untuk membayar bil, membeli barang atau membuat janji temu perubatan di dalam talian.
Justeru, beliau menyahut tawaran menyertai program pembelajaran Gerakan Transformasi Digital untuk Warga Emas apabila beliau mendapat tahu bahawa beliau boleh mempelajari program itu di pusat aktiviti warga tua yang terletak di bawah blok rumah sewa Lembaga Pembangunan dan Perumahan (HDB) beliau di kawasan Hougang Avenue 3.
"Saya ada ikuti kelas senaman di pusat aktiviti warga tua bawah blok saya tiga kali seminggu. Jadi, semasa saya ke kelas senaman, saya mendapat tahu tentang program pembelajaran digital dan saya segera mendaftarkan diri," kata Cik Jamaliah.
Katanya lagi: "Saya mahu tahu macam mana hendak melakukan perkara secara online kerana sekarang ini, zaman digital dan saya tidak mahu berasa ketinggalan. Dan, jika ia dapat memberi kemudahan untuk saya yang susah hendak keluar rumah, saya fikir saya harus belajar (kemahiran digital)."
Beliau telah mempelajari kemahiran digital dari pelajar pusat pengajian tinggi di pusat aktiviti warga tua berdekatan rumahnya sebanyak seminggu tiga kali.
Melalui program pembelajaran digital tersebut, Cik Jamaliah antaranya mempelajari cara memuat turun aplikasi di telefon bijak, cara menggunakan kaedah e-pembayaran seperti PayNow dan Kod Respons Pantas Singapura (SGQR) dan pengurusan membuat janji temu poliklinik dan hospital melalui aplikasi.
Beliau menambah, melalui program pembelajaran digital itu, beliau juga berpeluang mengikuti pelbagai kelas agama di dalam talian.
"Kadangkala, ada kelas agama menghendaki kita membuat bayaran melalui PayNow. Jadi, kalau saya sudah tahu cara menggunakan PayNow, saya bolehlah ikut serta kelas-kelas agama yang memerlukan kita bayar secara PayNow," kata Cik Jamaliah.
Di samping itu, Cik Jamaliah juga lebih memahami istilah yang sering dikaitkan dengan kaedah digital seperti data. "Dahulu, saya kurang faham apa maksud 'data' tetapi sekarang saya tahu bahawa saya akan menggunakan data telefon bijak saya jika telefon bijak saya tidak mempunyai Wi-Fi," kata Cik Jamaliah.
Nenek kepada tujuh cucu dan enam cicit ini berkata bahawa beliau berasa gembira dapat menimba ilmu tentang kaedah digital ini.
"Saya ada tanya cucu saya, suruh mereka tunjuk ajar, misalnya cara download aplikasi atau guna PayNow tetapi mereka selalu cakap, nanti mereka tolong buatkan.
"Sebenarnya, mereka memang baik, tolong saya tetapi kalau mereka asyik tolong, saya tidak akan belajar sendiri," kata Cik Jamaliah.

