Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Saingan rebut jawatan Presiden mungkin libatkan dua calon utama: Pengamat

Kok Song, Tharman dan Kin Lian tiga calon layak tanding
Aug 19, 2023 | 5:30 AM
PEJABAT TERTINGGI NEGARA: Singapura mungkin melihat perlawanan tiga penjuru pada Hari Mengundi yang ditetapkan pada 1 September. 
PEJABAT TERTINGGI NEGARA: Singapura mungkin melihat perlawanan tiga penjuru pada Hari Mengundi yang ditetapkan pada 1 September.  - Foto ST
PROFESOR MADYA EUGENE TAN
PROFESOR MADYA EUGENE TAN - Foto ihsan PROFESOR MADYA EUGENE TAN
DR GILLIAN KOH
DR GILLIAN KOH - Foto ihsan DR GILLIAN KOH
DR MUSTAFA IZZUDDIN
DR MUSTAFA IZZUDDIN - Foto ihsan DR MUSTAFA IZZUDDIN

Pilihan Raya Presiden akan datang mungkin merupakan perlumbaan antara dua pemain utama, meskipun persaingan melibatkan tiga penjuru, menurut pengamat politik yang dihubungi Berita Harian.

Namun, situasi ini hanya akan berlaku jika pengundi bijak menentukan siapa calon yang lebih baik antara dua calon yang mungkin bukan pendahulu dalam pilihan raya nanti.

Menjelaskan, Profesor Madya Eugene Tan dari Universiti Pengurusan Singapura (SMU) berkata:

“Walaupun nampaknya Encik Ng Kok Song, Encik Tan Kin Lian dan Encik Tharman Shanmugaratnam akan memfailkan kertas pencalonan mereka Selasa depan, persaingan ini mungkin menjadi perlumbaan dua pemain utama.

“Pengundi akan membuat keputusan dan mengehadkan bidang (persaingan) sebelum 1 September kepada dua calon.

“Pengundi tahu bahawa membahagikan undi antara apa yang dianggap calon kedua dan calon ketiga akan memberi lebih banyak kelebihan kepada (calon) pendahulu.

“Namun, persaingan dua pemain utama ini hanya akan menjadi kenyataan jika pengundi dapat membezakan siapa calon yang jelas lebih baik antara calon kedua dan calon ketiga. Jika ini berlaku, calon yang mendapat tempat ketiga mungkin akan kehilangan deposit pilihan rayanya.”

Pada Jumaat pagi, Jabatan Pilihan Raya (ELD) telah mengumumkan bahawa Encik Ng dan Encik Tan, kedua-duanya 75 tahun, dan Encik Tharman, 66 tahun, telah menerima surat kelayakan masing-masing.

Usahawan, Encik George Goh, 63 tahun, yang telah mengumumkan niatnya bertanding bagi jawatan Presiden, didapati tidak layak bagi pejabat tertinggi negara itu.

Jika semuanya berjalan lancar pada Hari Penamaan Calon pada 22 Ogos nanti, Singapura akan melihat persaingan tiga penjuru pada Hari Mengundi yang ditetapkan pada 1 September.

Meskipun Encik Tharman yang merupakan mantan Menteri Kanan dianggap oleh ramai sebagai pendahulu dalam pilihan raya presiden nanti, keputusannya masih belum boleh disimpulkan, tegas Dr Tan.

Berkongsi pandangan serupa, Felo Penyelidik Kanan di Institut Pengajian Dasar, Sekolah Dasar Awam Lee Kuan Yew Universiti Nasional Singapura, Dr Gillian Koh, berkata pengundi mempunyai “kepelbagaian” dalam pilihan mereka.

“Ketiga-tiga mereka mempunyai rekod prestasi yang jelas dalam membuat keputusan strategik tentang menguruskan sejumlah besar dana.

“Kami juga mempunyai seorang daripada bangsa minoriti dalam kalangan tiga orang itu,” katanya.

Dr Koh dan Dr Tan berkata mereka tidak terkejut dengan keputusan ELD.

Malah, Dr Tan berkata bahawa beliau tidak terkejut Encik Goh tidak layak bertanding.

“Cabaran terbesar Encik Goh sejak awal lagi ialah memujuk Jawatankuasa Pilihan Raya Presiden (PEC) bahawa beliau mempunyai “pengalaman dan keupayaan yang setanding” dengan seseorang yang menguruskan syarikat dengan ekuiti pemegang saham bernilai $500 juta yang menguntungkan selama sekurang-kurangnya tiga tahun.

“Beliau telah bergantung pada langkah menggabungkan ekuiti pemegang saham lima syarikat yang lebih kecil.

“Skala, kerumitan, pengalaman, set kemahiran, risiko yang diambil, pertimbangan yang diperlukan adalah sangat berbeza... Magnitud menjalankan sebuah syarikat $500 juta sangat berbeza daripada menguruskan beberapa syarikat dengan ekuiti pemegang saham gabungan sebanyak $500 juta,” kata Dr Tan.

Namun, bagi, Dr Mustafa Izzuddin, penganalisis kanan hal ehwal antarabangsa di Solaris Strategies Singapore, ketidaklayakan Encik Goh agak mengejutkan.

“Bukan sesuatu yang menghairankan bahawa akan ada pilihan raya, tetapi agak mengejutkan George Goh tidak menerima sijil kelayakan kerana beliau yakin akan menerimanya,” kata Dr Mustafa.

Beliau menambah bahawa jika ada persaingan tiga penjuru, Encik Tharman “kekal sebagai pendahulu yang jelas sebagai calon paling kuat” disebabkan antara lain, kebijaksanaan dan pengalamannya di peringkat domestik dan antarabangsa.

“Mari kita lakukan yang terbaik untuk generasi kini dan yang akan datang untuk mencapai harapan kita dan memastikan Singapura terus berkembang maju. Saya akan memberikan yang terbaik untuk dipilih sebagai Presiden, di samping saya berkhidmat dan membina Singapura yang bersatu untuk masa depan.”
Encik Ng Kok Song, mantan ketua pegawai pelaburan GIC, 75 tahun.

“Saya mengalu-alukan pertandingan ini. Saya harap ia (Pilihan Raya Presiden) mengemukakan pertandingan yang bermaruah demi menjaga martabat pejabat itu. Saya menggalak semua calon untuk menampilkan diri mereka dengan sebaik-baiknya kerana mereka masing-masing mengemukakan sesuatu yang bernilai kepada Singapura.”
Mantan Menteri Kanan, Encik Tharman Shanmugaratnam, 66 tahun.

“Saya berterima kasih kepada Jawatankuasa Pilihan Raya Presiden atas keputusan mereka yang wajar dan juga, kerana mengeluarkannya beberapa hari lebih awal. Ini akan membolehkan saya buat persediaan untuk kempen lebih awal dan dengan lebih pasti. Saya dan sukarelawan saya akan bekerja keras untuk menawarkan kepada rakyat Singapura pilihan untuk memilih Presiden yang bebas daripada pemerintah. Sekiranya dipilih, saya akan menggunakan jawatan Presiden untuk bekerjasama dengan pemerintah dalam mencari penyelesaian bagi meningkatkan kehidupan rakyat, khususnya untuk mengurangkan kos sara hidup, menjadikan rumah mampu milik dan mendapat pekerjaan yang terjamin dan bergaji tinggi.”
Encik Tan Kin Lian, mantan ketua pegawai eksekutif NTUC Income, 75 tahun.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg