Editor Berita Harian, Encik Nazry Mokhtar, telah menghasilkan dan mendeklamasi sekuntum sajak sebagai penghargaan akhbar ini terhadap sumbangan mantan Presiden Singapura, Puan Halimah Yacob, kepada masyarakat dan negara.
Berikut adalah sajak ‘Presiden Berjiwa Rakyat’ yang disampaikan Editor BH itu.
Kau bagai lambang perpaduan pertiwi
Bak sinaran cahaya yang menyuntik inspirasi
Walau kini berundur diri, namamu tetap di sanubari
Tidak dilupa pencapaianmu yang gemilang
Membela nasib insan yang lemah dan malang
Menguat azam bangsa yang pantang mundur ke belakang
Perjuanganmu meninggalkan kesan yang hakiki
Menyemai kesantunan yang terpateri di hati
Menambat insan dengan kepedulian yang sejati
Sekalung budi atas jasamu yang tidak mengenal penat
Atas baktimu yang tulus dan penuh bersemangat
Atas budimu sebagai presiden berjiwa rakyat
Terima kasih kerana menyuluh jalan harapan
Terima kasih kerana menanam benih keazaman
Terima kasih kerana menjadi obor yang menegak kebenaran
Semoga Allah membalas jasamu dengan anugerah yang keramat
Semoga setiap amalanmu diberi kerahmatan yang sarat
Semoga jejak perjalananmu akan diberkati dengan keafiatan,
ketenangan dan kebahagiaan di dunia dan di akhirat
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg