Tidak seperti kebanyakan remaja seusianya, Nurin Adilah Muhammad Zohri, yang ketika itu hanya berusia 13 tahun, terpaksa menghabiskan banyak masa di hospital demi mendapatkan rawatan kemoterapi intensif selepas disahkan menghidap penyakit leukemia limfoblastik akut (ALL) pada 2021.
Penyakit barah darah dan tulang sumsum ini berpunca daripada pembiakan genetik yang, antara lain, menyebabkan tulang sumsum menghasilkan terlalu banyak limfoblas (sel darah putih tidak matang).
Kerana penyakitnya berkembang dengan sangat cepat, Nurin, kini 18 tahun, pelajar Sekolah Menengah Woodlands Ring, terpaksa berhenti sekolah selama hampir dua tahun bagi menjalani rawatan yang sering menyebabkan dirinya terlalu letih di samping mengalami muntah berulang.
Justeru, ketika kembali ke sekolah pada Januari 2023, terasa berat baginya dek perhatian orang sekeliling yang tertumpu kepadanya.
Nurin akur berasa kurang yakin apabila kembali ke sekolah dengan penampilan diri yang telah berubah secara mendadak sejak kali terakhir dia menjejakkan kaki di sekolah itu.
Antara perubahan yang dialaminya termasuk tambahan berat badan sebanyak kira-kira 20 kilogram, serta rambut pendek yang menurutnya kelihatan “seperti seorang lelaki”.
Perubahan fizikal itu merupakan kesan rawatan kemoterapi intensif yang dilaluinya dua minggu sekali.
“Apabila saya kembali ke sekolah pada Januari 2023, saya hampir tidak berani masuk kawasan sekolah kerana tak berasa seperti remaja perempuan biasa,” kata anak sulung tiga beradik ini.
Namun, pengalaman pahit itu bukan menjadi penghalang bagi pelajar aliran Ekspres ini bangkit dari kesuraman dan menduduki peperiksaan Sijil Am Pelajaran (GCE) peringkat ‘O’.
Senyuman yang terukir di bibirnya pada 14 Januari lalu cukup bermakna apabila Nurin lulus dalam kesemua enam mata pelajaran, bahkan mendapat gred A2 bagi Bahasa Melayu dan Sains (Fizik dan Kimia).
Dia mendapat Gred B3 bagi Matematik Tambahan, B4 bagi Matematik dan Bahasa Inggeris serta C6 bagi Ilmu Kemanusiaan (Sains Sosial dan Sastera Inggeris).
Malahan, dia sudah pun mendapat tempat bagi mengikuti kursus Diploma Kimia Gunaan di Politeknik Republic (RP) menerusi Skim Kemasukan Awal (EAE).
Nurin yang bercita-cita menjadi doktor haiwan merupakan antara 22,468 calon yang telah menduduki dan menerima keputusan GCE peringkat ‘O’ pada 14 Januari.
Daripada jumlah itu, sekitar 86.9 peratus pelajar lulus sekurang-kurangnya lima mata pelajaran.
Prestasi ini setanding dengan prestasi calon peperiksaan GCE peringkat ‘O’ pada tahun-tahun sebelumnya, menurut kenyataan bersama Kementerian Pendidikan (MOE) dan Lembaga Peperiksaan dan Penilaian Singapura (SEAB) pada 14 Januari.
Dalam satu catatan Facebook, Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, Encik Lawrence Wong, mengingatkan pelajar adanya laluan kejayaan berbeza dan sambil itu, berpesan agar pelajar berasa bangga dengan apa jua keputusan yang diraih.
“Walau apa pun keputusan anda, berbangga dengan usaha yang telah anda lakukan. Terdapat banyak laluan dan setiap daripada anda akan mencari jalan ke hadapan sendiri.
“Persahabatan yang telah anda jalin, pengajaran yang telah anda pelajari, dan pengalaman yang anda perolehi akan terus membimbing anda semasa mengambil langkah seterusnya,” ujar beliau.
Bagi Nurin, keputusan itu menjadi bukti sokongan yang diterima daripada pihak sekolah dan rakan-rakan, yang menyediakan persekitaran sekolah yang selamat serta sistem sokongan yang kukuh agar dia tidak ketinggalan dalam pelajaran.
Ini termasuk rakan-rakan sekelas yang sentiasa menemaninya semasa waktu sekolah.
“Ada teman yang sanggup mengelap meja saya kerana mereka tahu betapa senangnya saya terdedah kepada jangkitan.
“Sokongan seperti itu memberi saya semangat mengatasi perasaan murung yang saya alami,” katanya.
Menurut gurunya, Cik Siti Shahzuliahari Johari, Persatuan Barah Singapura, banyak membantu pihak sekolah memahami kondisi Nurin.
“Bagi seorang kanak-kanak yang sedang pulih daripada penyakit barah seperti Nurin, proses kembali ke sekolah selepas menjalani rawatan secara lumrahnya memang menakutkan, tetapi antara langkah penting dalam membina semula kehidupan seperti biasa.
“Lawatan pekerja kes dari Persatuan Barah Singapura yang membantu rakan-rakan sedarjah faham apa yang perlu dijangkakan dan bagaimana menyokong Nurin amat membantu,” kata beliau yang telah mendidik Nurin sejak Menengah 2.
Dengan sokongan seperti itu juga, Nurin dapat kembali aktif dalam pelbagai hobinya termasuk kegiatan kokurikulum (CCA), tarian Melayu.
Enggan membiarkan keadaan kesihatannya menjadi penghalang, dia tetap berlatih meskipun tubuhnya sering dilemahkan oleh kesan sampingan kemoterapi.
Katanya, seni itu menjadi satu wadah untuk dia melepaskan tekanan dan kembali merasakan dirinya mampu menangani dan menjadi sebahagian kehidupan sekolah.
Semangat itu membuahkan hasil apabila Nurin kembali menyertai kumpulan tarian sekolahnya bagi persembahan Pesta Belia Singapura (SYF) pada 2023, di mana dia dan rakan-rakan berjaya meraih Anugerah Cemerlang.
Pada tahun yang sama, Nurin menerima Anugerah Perwatakan Edusave atas ketabahan dan daya tahan yang ditunjukkannya.
Detik-detik kejayaan seperti itu seakan memadam segala pengalaman pahit yang dilalui Nurin, kongsi ibunya, Cik Norlizah Isa.
Cik Norlizah akur perit menyaksikan kesihatan dan tahap keceriaan anak sulungnya merosot secara perlahan.
“Dalam tempoh yang singkat, Nurin telah berubah daripada seorang remaja yang aktif dan penyayang kepada seorang pesakit yang kerap keluar masuk hospital bagi menjalani rawatan intensif,” kata Cik Norlizah.
Saat-saat itu, katanya, merupakan antara tempoh paling mencabar dalam hidupnya.
Ibunya, Cik Norlizah Isa, 42 tahun, pegawai pentadbiran, pula menambah: “Ada masanya saya hanya mampu melihat dari sisi katil hospital, tanpa tahu apa lagi boleh saya lakukan selain berdoa. Justeru, saya cukup bangga dengannya. Saya hanya doakan supaya dia kekal sihat dan menjadi anak yang boleh berbakti dan menjadi insan berguna.”


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg