Topik diikuti
Pergi ke BHkuSambutan Hari Wanita Antarabangsa MGirl Co. x LMN: Raikan wanita Melayu/Islam sambil perkasa diri
Sambutan Hari Wanita Antarabangsa MGirl Co. x LMN: Raikan wanita Melayu/Islam sambil perkasa diri
Sambutan Hari Wanita Antarabangsa MGirl Co. x LMN: Raikan wanita Melayu/Islam sambil perkasa diri
SAMBUTAN Hari Wanita Antarabangsa masih penting diraikan kerana kesaksamaan jantina masih belum dicapai dengan banyak lagi perlu diusahakan masyarakat demi memastikan kita boleh menyokong wanita dalam hidup kita secara lebih baik lagi.
Menjelaskan demikian pada sambutan Hari Wanita Antarabangsa MGirl Co. x LMN pada Sabtu (12 Mac), Anggota Parlimen Dicalon (NMP), Dr Shahira Abdullah, yang hadir selaku tetamu terhormat acara tersebut, berkata:
"Ini adalah hari yang bermakna untuk mempertimbangkan apa yang kita telah lakukan dan apa yang perlu dilakukan untuk mara."
Sebagai sebuah masyarakat Melayu/Islam, Dr Shahira berkata, kita mempunyai cabaran tersendiri dan mempunyai masyarakat atau rangkaian wanita Melayu/Islam.
"Rangkaian yang menyokong itu amat berguna dan boleh memberikan anda bimbingan untuk dijadikan sandaran apabila anda memerlukan sokongan itu. Untuk mempunyai rangkaian sebegini yang tersedia buat golongan muda amat berguna," tambahnya di acara yang berlangsung selama dua jam di Forest Room, hotel HUONE sekitar River Valley Road.
MGirl Co. yang digerakkan Kelab Mendaki adalah platform satu perhentian yang bertujuan memperkasa wanita Melayu/Islam dalam perkembangan peribadi dan profesional mereka.
Misinya adalah untuk membangun masyarakat wanita Melayu/Islam yang saling bergantung untuk menyokong dan belajar daripada satu sama lain.
Ini dilakukan menerusi penganjuran acara sosial untuk menebar rangkaian kenalan dan mendampingi serta bengkel yang memberikan wawasan dan kaedah bagaimana seseorang boleh mengemudi hambatan berbeza yang dihadapi dalam ruang privet dan profesioanl.
Bagi sambutan Hari Wanita Antarabangsa 2022, MGirl Co. bekerjasama dengan Liyana Musfirah Network (LMN) untuk meraikan wanita Melayu/Islam.
Menyusuli pelancaran MGirl.Co yang berjaya dan 'Games Night' yang diadakan, wanita Melayu/Islam diundang menyertai ruang selamat di mana wanita daripada pelbagai latar belakang bersatu untuk mendengar dan didengar, mencetus inspirasi dan meraih inspirasi daripada pengalaman satu sama lain.
Pada Sabtu, peserta terlibat dalam perbincangan di sekitar tema kesihatan mental, keluarga, kerjaya, agama dan semangat berdikari.
Dipimpin pakar psikoterapi daripada LMN, peserta terlibat dalam latihan 'People-Need-People' untuk bertukar-tukar idea dan mencari sokongan dalam kalangan kumpulan masing-masing.
Antara peserta yang hadir di sesi tersebut termaasuk Cik Danyya Ateera, seorang jurutera sekitaran yang berkata:
"Sesi hari ini membuatkan saya menyedari bahawa pemerkasaan adalah perkataan yang sangat besar, yang sering dilontarkan, tetapi apakah sebenarnya pengertian kita diperkasa? Bagi saya, pemerkasaan bukan sahaja kekuatan anda, tetapi jerih-perih anda untuk membangkitkan semangat orang lain dan mewujudkan generasi wanita yang berdaya bingkas.
"Sesi perbincangan hari ini mengajar kita untuk berhenti sejenak dan melakukan refleksi diri daripada selalu terfikir kita perlu berlumba-lumba dalam kehidupan."
Penolong kajian di Universiti Teknologi Nanyang (NTU), Cik Shaza Azman, menambah:
"Kita perkatakan tentang bagaimana pemerkasaan merupakan apa yang anda definisikan dan pemerkasaan wanita tidak seharusnya dikaitkan dengan lelaki.
"Ini amat berbeza daripada sesi sebelum ini di mana ia lebih fokus pada usaha menebar rangkaian kenalan dan berkongsi. Hari ini, kita pelajari banyak perkara baru."
Elma Saviana Azam, seorang pelajar sambilan, pula menambah:
"Selepas sesi hari ini, saya rasa lebih diperkasa untuk menyuarakan pandangan dan pengamatan saya kerana ini adalah ruang yang selamat. Sesi hari ini juga membantu saya untuk keluar dari kepompong dan berkongsi keperluan dan kemahuan saya.
"Saya terbiasa menyoroknya sehingga ia mencorak cara saya berfikir tetapi melalui sesi ini, ia menggalakkan saya agar lebih banyak bersuara."