Perdana Menteri, Encik Lee Hsien Loong, selamat tiba di Riyadh, Arab Saudi, untuk memulakan lawatan rasmi beliau ke negara Teluk itu pada Selasa malam, waktu tempatan.
Ketibaannya di Terminal Diraja di Lapangan Terbang Antarabangsa King Khalid itu disambut mesra oleh Timbalan Gabenor Riyadh, Putera Mohammed Abdulrahman Adulaziz Al Saud, bersama Mayor Riyadh, Putera Faisal Ayyaf Al-Muqrin.
Encik Lee mengadakan lawatan rasmi ke Saudi dari Selasa hingga Jumaat.
Menurut kenyataan Pejabat Perdana Menteri (PMO), kunjungannya ke Saudi adalah atas undangan Putera Mahkota dan Perdana Menteri Saudi, Putera Mahkota Mohammed Salman Al Saud.
Menerusi laman Facebook beliau, Encik Lee berkata:
“Saudi merupakan bahagian pertama daripada lawatan rasmi saya ke Timur Tengah.
“Saya mengalu-alukan pertemuan dengan Putera Mahkota Mohammed serta pemimpin Saudi yang lain di sini.”
Dalam rangka lawatannya itu, beliau akan menghadiri Sidang Puncak Asean-Majlis Kerjasama Teluk (GCC) pada Jumaat.
Ini merupakan kali pertama ketua negara atau pemerintah dari kedua-dua blok serantau itu bertemu dalam sidang puncak itu.
Asean dianggotai Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam manakala GCC pula dianggotai Saudi, Kuwait, Amiriah Arab Besatu (UAE), Qatar, Bahrain dan Oman.
Selain berkunjung ke Riyadh, Encik Lee juga dijadual melawat tempat budaya dan bersejarah di Madinah dan Al Ula.
Dalam lawatannya ke Saudi, Encik Lee diiringi Menteri Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishnan; Menteri Pendidikan, Encik Chan Chun Sing; Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad; dan Menteri Tenaga Manusia, Dr Tan See Leng.
Singapura dan Arab Saudi telah menjalin hubungan diplomatik sejak 46 tahun lalu, dengan Arab Saudi merupakan rakan dagang kedua terbesar Singapura di Timur Tengah.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg