Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Sampah masih jadi isu di S'pura

Data dari aplikasi Stridy bolehkan orang ramai nyatakan jenis sampah yang dikutip
Jul 30, 2022 | 5:30 AM
TINGKAT KESEDARAN: Bagi membangunkan masyarakat yang bersemangat mengurangkan sampah bandar dan meningkatkan kesedaran tentang isu ini, pasukan Stridy menganjurkan sesi pembersihan di tempat-tempat seperti Taman East Coast.
TINGKAT KESEDARAN: Bagi membangunkan masyarakat yang bersemangat mengurangkan sampah bandar dan meningkatkan kesedaran tentang isu ini, pasukan Stridy menganjurkan sesi pembersihan di tempat-tempat seperti Taman East Coast. -

SINGAPURA mungkin mempunyai reputasi sebagai bandar yang bersih, tetapi data daripada sebuah aplikasi mudah alih yang menjejaki usaha pembersihan menunjukkan bahawa ini bukan kerana orang di sini tidak membuang sampah.

Dikenali sebagai Stridy, aplikasi percuma itu membolehkan orang ramai mendokumentasikan jenis sampah yang mereka kutip ketika mereka berjalan, berlari anak atau berlari.

Sejak Januari, lebih 100,000 sampah, termasuk puntung rokok, pelitup pakai buang dan bahan bungkusan, telah dikutip di Singapura.

Aplikasi ini juga digunakan di tempat lain, contohnya, Malaysia, Austria dan Taiwan. Terdapat lebih 2,000 pengguna yang menggunakan aplikasi itu di serata dunia.

Pengguna boleh merekodkan jenis sampah yang mereka kutip ke dalam kategori tertentu seperti beg plastik, botol kaca dan tin logam.

Tempat sampah sering dibuang adalah di kawasan perumahan seperti perhentian bas, laluan pejalan kaki, taman dan tempat berhampiran kedai makan, kata pengurus pembangunan perniagaan Stridy, Cik Pamela Low, 26 tahun.

"Sampah sering ditemui di kawasan yang tong sampah selalunya tidak kelihatan, atau di tempat yang sudah pun terdapat sampah, dan orang ramai menimbunkan lebih banyak sampah," kata Cik Low.

Bagi membangunkan masyarakat yang bersemangat mengurangkan sampah bandar dan meningkatkan kesedaran tentang isu ini, pasukan Stridy menganjurkan sesi pembersihan di tempat-tempat seperti Taman East Coast.

Apabila The Straits Times (ST) menyertai pembersihan anjuran Stridy di Taman East Coast bulan lalu, barangan seperti botol plastik, puntung rokok dan sudu-garpu plastik bertaburan di atas tanah. Dalam masa sejam, pasukan itu memungut 23.7 kilogram sampah.

Secara keseluruhan, pengguna telah memungut sejumlah 38,220 puntung rokok, 18,712 pembungkus plastik dan 10,031 keping bungkusan kertas di Singapura sejak awal tahun ini.

Cik Low berkata data yang dikumpul boleh mendorong perniagaan dan penggubal dasar untuk mengambil tindakan.

"Penggubal dasar akan menjadi lebih sedar tentang di mana pembuangan sampah berlaku, dan mereka boleh menjalankan skim perintis kitar semula di sana atau meletakkan lebih banyak tong sampah di kawasan itu kerana orang di kawasan kejiranan itu mengambil berat tentang isu tersebut," kata Cik Low.

Data yang dirakam oleh Stridy memberikan sudut yang berbeza untuk memahami masalah sampah Singapura, tambahnya.

Semasa musim monsun timur laut dan barat daya, pantai Singapura penuh dengan sampah "yang diimport", seperti styrofoam, filem dan serpihan plastik keras, yang dibawa oleh arus ke pantai.

Lembaga Taman Negara (NParks) dan Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) sebelum ini berkata peningkatan jumlah sampah marin - hingga 90 peratus peningkatan di Taman East Coast semasa musim monsun berbanding dengan masa lain dalam setahun - kebanyakannya adalah serpihan dari kawasan terdekat yang dibawa oleh angin dan arus. Tetapi sampah marin bukan satu-satunya masalah di sini kerana jumlah sampah darat masih menjadi isu yang berterusan, kata Cik Low.

NEA, ketika menjawab pertanyaan ST, berkata antara 1 Januari dengan 31 Mei tahun lalu, pegawainya telah menjalankan tindakan penguatkuasaan, termasuk mengeluarkan tiket, ke atas sekitar 7,400 kes pembuangan sampah. Ini meningkat kepada 7,800 kes dalam tempoh yang sama tahun ini.

Pengerusi Majlis Kebersihan Awam, Encik Edward D'Silva, berkata masalah pembuangan sampah mungkin lebih teruk daripada apa yang ditunjukkan oleh angka.

"(Salah satu sebab) adalah malas berjalan ke tong sampah berhampiran manakala ada yang membuang sampah sembarangan kerana ia mudah. Orang lain mungkin berbuat demikian kerana mereka fikir mereka boleh terlepas daripadanya dan akan sentiasa ada pekerja pembersihan untuk mengutipnya," katanya.

"(Salah satu sebab) adalah malas berjalan ke tong sampah berhampiran manakala ada yang membuang sampah sembarangan kerana ia mudah. Orang lain mungkin berbuat demikian kerana mereka fikir mereka boleh terlepas daripadanya dan akan sentiasa ada pekerja pembersihan untuk mengutipnya." - Pengerusi Majlis Kebersihan Awam, Encik Edward D'Silva.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg