Aksi penunggang basikal yang berhenti di tengah-tengah jalan raya untuk ‘berteduh’ telah mengundang cemuhan daripada sebahagian warganet.
Dalam video yang kini dikongsi di media sosial, penunggang basikal itu dilihat berhenti mengayuh lebih jauh daripada yang dijangka sementara menanti lampu isyarat trafik bertukar menjadi hijau.
Beliau dilihat tidak berganjak dari ‘sempadan’ antara dua lorong jalan raya di Sengkang Road East, itu, walaupun beberapa kenderaan boleh dilihat menukar lorong untuk mengelak beliau. Kededua lorong itu diperuntuk untuk pemandu membelok kiri.
Video itu dimuat naik ke Facebook SG Road Vigilante yang berkata kejadian itu berlaku sekitar 9.15 pagi pada 14 Oktober.
Penunggang basikal itu kelihatan berhenti menunggu lampu isyarat - sekitar 20 meter di depannya - bertukar hijau. Yang peliknya, beliau berhenti betul-betul dalam teduh, seolah-olah cuba mengelakkan terik matahari.
Dalam muatan itu, kapsyen adminnya juga turut mencuit hati :
“Brader, kalau takut matahari, baik duduk rumah dan tak perlu kayuh? (Anda) menjadi halangan, berhenti di antara dua lorong menghala ke kiri?”
Komen warganet juga menghentam perbuatan penunggang basikal itu.
“Kalau tak mahu berpeluh, baik jangan berbasikal!” kata Koh PohLeong dalam komennya.
Seorang lagi netizen @Jeffery Yam pula menambah :
“...Kalau rasa tidak sihat, dan takut terkena panas, lebih baik berehat di laluan pejalan kaki, dan bukan di tengah-tengah jalan. Perbuatan anda itu bahaya!”
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg