Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Sanggup tunggu dua bulan demi petik gambar burung kegemaran

Sep 27, 2024 | 3:41 PM
Dalam tempoh dua bulan, Encik Muhammad Jamil Agus Rizal sanggup habiskan sekitar dua jam selama enam hari semata-mata untuk memetik gambar burung kegemarannya, iaitu kingfisher, di Taman Pasir Ris.
Dalam tempoh dua bulan, Encik Muhammad Jamil Agus Rizal sanggup habiskan sekitar dua jam selama enam hari semata-mata untuk memetik gambar burung kegemarannya, iaitu kingfisher, di Taman Pasir Ris. - Foto BH oleh IZWANDI AZMAN

Penantian yang membuahkan hasil.

Selepas dua bulan menunggu dengan penuh kesabaran, Encik Muhammad Jamil Agus Rizal, seorang peminat fotografi burung, akhirnya berjaya memetik gambar burung kingfisher yang sukar ditemui di Taman Pasir Ris.

Kali pertama Encik Jamil, 35 tahun, terlihat burung tersebut ialah pada September 2023 ketika beliau bersama anak perempuannya yang berusia tiga tahun, dan sejak itu beliau bertekad untuk mengabadikan kecantikan burung berwarna biru itu.

Sepanjang tempoh dua bulan, Encik Jamil menghabiskan enam hari di Taman Pasir Ris – sekitar dua jam setiap hari, menunggu sambil mendokumentasikan proses fotografi tersebut dalam bentuk video.

Setakat ini, video itu ditonton lebih 6,500 kali dan disambut baik penggemar burung di Singapura.

Encik Jamil, seorang penjawat awam, memuat naik video itu di YouTube, di mana beliau berkongsi setiap langkah yang diambilnya untuk memetik gambar burung kecil dan lincah itu.

Dalam temu bual dengan Berita Harian (BH), Encik Jamil mengakui rasa gementarnya ketika memetik gambar burung kingfisher itu kerana saiznya yang kecil dan kepantasannya membuatnya sukar untuk memetik gambar yang jelas.

“Burung kingfisher sangat kecil dan bergerak dengan pantas, jadi peluang untuk memetik gambarnya sangat terhad.

“Ini bermakna persiapan sangat penting supaya saya dapat meningkatkan peluang memetik gambar yang diingini.

“Pengetahuan tentang tabiatnya, seperti waktu ia suka menginap di dahan pokok, dan pokok manakah ia kerap menginap, ini semuanya penting supaya saya boleh meramal bilakah ia akan ‘menjelma’ kelak,” jelas Encik Jamil.

Menggunakan teropong kecil untuk memantau persekitarannya, Encik Jamil menanti dengan sabar untuk memetik gambar yang dinantikannya.

Namun, sepanjang enam hari di Taman Pasir Ris, beliau hanya menemui biawak dan kura-kura berkeliaran di kawasan itu.

Akhirnya, pada 26 November 2023 sekitar 8 pagi, beliau ternampak burung Blue-eared kingfisher dan berpeluang menyaksikannya memakan tiga ekor ikan sebelum ia menginap di dahan pokok untuk berehat.

Watch on YouTube

Dalam videonya, Encik Jamil menjelaskan bahawa burung itu tidak biasa dilihat di Singapura. Videonya menunjukkan lebih ramai peminat burung lain berkerumun bersebelahannya untuk memerhatikan dan memetik gambar burung tersebut.

Sedang masa berlalu, seekor lagi burung kingfisher, yang dikenali sebagai Common kingfisher, muncul. Menurut Encik Jamil, ia biasa dilihat di Singapura.

“Burung kingfisher dikenali sebagai spesies burung yang suka merebut kawasan. Beberapa minit kemudian, Common kingfisher yang lebih besar menghalau Blue-eared kingfisher yang lebih kecil, memaksanya untuk berundur ke dalam semak,” kongsi Encik Jamil.

Walaupun Blue-eared kingfisher dan Common kingfisher kelihatan serupa, terdapat beberapa perbezaan antara kedua-dua jenis burung.

Menurut Encik Jamil, bulu Blue-eared kingfisher berwarna biru gelap, manakala bulu Common kingfisher lebih kepada biru pirus (turquoise). Tambahnya, Blue-eared kingfisher juga lebih kecil sedikit daripada Common kingfisher.

Encik Jamil menceburi dunia fotografi sejak zaman sekolah menengah lagi, tetapi minatnya terhadap seni itu mula berkembang ketika menyertai kelab media di Universiti Nasional Singapura (NUS) pada 2010.

Di sana, beliau mempelajari aspek teknikal fotografi seperti apertur, kelajuan pengatup, dan sensitiviti cahaya atau ISO.

Ketika memulakan hobi fotografinya, Encik Jamil bijak memanfaatkan wadah seperti Carousell untuk membeli lensa terpakai. Menurutnya, lensa terpakai memberi nilai besar pada kos yang lebih rendah.

Bagi Encik Jamil, fotografi burung lebih menyeronokkan berbanding fotografi bidang lain.

“Saya gemar berada di alam semula jadi, memerhati tabiat burung dan merasai ketenangan semasa keluar menjelajah.

“Fotografi burung memerlukan saya untuk sentiasa bersiap sedia dan mempunyai sikap ingin tahu ketika berhubung dengan alam,” ujarnya.

Menurut satu buku yang pernah dibaca Encik Jamil, terdapat hampir 400 spesies burung di Singapura, terutamanya semasa musim penghijrahan. Ketika itulah burung berhijrah dari utara ke selatan lalu menyinggah ke Singapura dalam perjalanan mereka.

Di antara kesemua spesies burung, kingfisher adalah burung kegemaran Encik Jamil.

“Impian saya adalah agar suatu hari nanti saya berjaya memetik gambar burung kingfisher yang sedang menyelam ke dalam air dan menangkap ikan.

“Pada pendapat saya, itu satu detik yang menggambarkan kehebatan dan keindahan burung itu,” katanya.

Namun, Encik Jamil tidak hanya gemar memetik gambar burung, beliau juga mahu menginspirasikan jurufoto lain dan pencinta alam untuk lebih menghargai burung-burung serta ekosistem di sekeliling kita.

“Saya berharap peminat burung di Singapura menghormati undang-undang dan persekitaran alam semula jadi kami. Janganlah sampai ke tahap memijak semak atau pun menceroboh kediaman orang lain untuk memetik gambar burung,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg