Berikut senarai saranan buku karya sastera Singapura (SingLit) sempena Hari Kebangsaan Singapura ke-61.

Saat Cakerawala Bersujud

Hasil ‘air tangan’ mantan Mufti Singapura, Ustaz Dr Mohamad Fatris Bakaram, karya itu menyajikan tafsiran Surah Yusuf dengan kupasan yang cukup mendalam lagi jelas.

Ia menghuraikan riwayat hidup Nabi Yusuf dengan dukungan nilai kebaikan yang wajar direnungi. Menariknya, karya itu membingkiskan inti pati keagamaan dengan gaya penceritaan dan keindahan bahasa yang lembut serta mampu menyentuh jiwa pembaca.

Batas Langit

Berlatarbelakangkan konteks kehidupan di Singapura pada era 50-an, karya itu memberi gambaran tentang pergelutan masyarakat dengan beberapa masalah sosial menjelang perpisahan dengan Malaysia pada 1965.

Karya pemenang Hadiah Sastera Singapura sebanyak tiga kali, Allahyarham Mohamed Latiff Mohamed, mencetus renungan tentang pembangunan negara Singapura dan pasang surut yang dilalui masyarakat dahulu.

Ia ibarat menjadi bayangan dokumentasi sejarah yang mungkin tidak pernah dialami masyarakat Melayu Singapura hari ini.

Ingin Jadi Pujangga

Ingin Jadi Pujangga ialah koleksi cerpen hasil karya seorang wartawan dan sasterawan kelahiran Singapura, Allahyarham A. Samad Ismail.

Buku itu mengandungi 40 cerita berbeza yang berkisar tentang kehidupan merentas zaman penjajahan Jepun hinggalah era 90-an.

Antara tema yang diangkat dalam karya itu tentang kehidupan dalam masyarakat berbilang kaum dan agama, yang wajar dihadam oleh masyarakat di Singapura.

Beberapa kisah seperti ‘Ah Khaw Masuk Syurga’ dan ‘Cina Angkat Najis di Rumah Saya’ bukan sahaja mengangkat kepentingan kemajmukan, malah turut mencerahkan sisi nilai kemanusiaan dalam kehidupan sosial.

Firasat

Mengupas tentang ciri atau kualiti akal budi yang unik dalam masyarakat Melayu iaitu firasat (ilmu yang dicerap melalui tanda, perasaan atau intuisi), karya itu menyentuh tentang pertembungan nilai, pemikiran dan tingkah laku sosial yang mendasari masyarakat Melayu di Singapura dalam era moden kini.

Penerima Pingat Budaya, Isa Kamari, telah menyorot pelbagai isu yang membelit masyarakat Melayu di Singapura dengan gagasan yang ‘baharu’ dan penceritaan menarik.

Utopia Masyarakat Lambak

Ditulis oleh Pensyarah Kanan Jabatan Pengajian Melayu Universiti Nasional Singapura (NUS), Dr Azhar Ibrahim, karya yang sarat dengan wacana ini menyinggung masalah pemikiran yang membelenggu masyarakat.

Dengan konsep ‘Minda Lambak’, ia mengetengahkan kritikan tajam terhadap kelompongan dalam pemikiran yang bersifat beku daripada memikirkan tentang hal-hal penting bagi kemajuan masyarakat.

Karya itu turut menggagaskan pendekatan pendidikan yang wajar dalam menangani permasalahan tersebut.