Syarikat penyedia makanan Sats, telah melabur dalam teknologi baru yang membolehkan masakan tahan lebih lama dan mengurangkan pembaziran.

Makanan yang disejukkan sejurus selepas ia dimasak boleh disimpan sehingga 90 hari tanpa bahan pengawet. Biasanya, makanan yang disejukkan hanya boleh disimpan 48 jam.

Malah, hidangan segera seperti nasi ayam, briani ayam dan pasta yang tidak disimpan dalam peti sejuk juga boleh 'bertahan' selama antara enam bulan dengan 24 bulan.

Kata Sats, ini boleh dilakukan menerusi proses pempasteuran dan pensterilan, yang tidak menjejas keselamatan, pemakanan atau rasa makanan itu.

Pempasteuran adalah proses menghangatkan makanan bagi tempoh tertentu untuk mengurangkan bakteria, sementara pensterilan menggunakan haba dan tekanan untuk menghapus bakteria dan enzim.

Sats, penyedia makanan utama bagi syarikat penerbangan di Lapangan Terbang Changi, menunjukkan teknologi baru ini pada Isnin (11 Mac) semasa melancarkan dapur yang diluaskan di Changi North.