Sejak bergerak sebagai kumpulan seni Melayu yang bebas dan berdikari, orkestra Melayu pertama di Singapura kini berkongsi ‘rumah’ dengan sebuah kumpulan seni teater di Wisma Geylang Serai (WGS) sejak 1 April.

Seiring dengan visi baru kumpulan seni itu, perkongsian ruang itu membawa kepada matlamat meningkatkan kerjasama.

Ketika menjelaskan tentang situasi perkongsian ruang bersama Opera Academy (OA), Presiden dan Pengarah Artistik Orkestra Melayu Singapura (OMS), Zulkifli Mohamed Amin, 42 tahun, berkata keadaan ini merupakan satu peluang untuk mereka terus membina perpaduan dalam kalangan kumpulan seni Melayu di Singapura.

“Dengan ruang yang dikongsi bersama OA, yang merupakan kumpulan seni berbeza, ia membawa manfaat yang lebih iaitu semangat serta usaha kerjasama yang lebih besar.

“Malah, kita sudah membuat persembahan bersama dan berlatih bersama-sama.

“Ini bukan sahaja merapatkan silaturahim antara penggiat seni, malah, membangkitkan semangat kekitaan dan saling menyokong antara satu sama lain,” jelas Zulkifli, yang juga anggota Lembaga Penasihat Arts House Group.

Presiden dan Pengarah Artistik Orkestra Melayu Singapura (OMS), Zulkifli Mohamed Amin, bercita-cita menjadikan OMS sebagai pencetus ekosistem sihat yang dapat saling membangunkan dan memperkasa kumpulan seni Melayu di Singapura. Beliau mahu merancakkan semangat ‘silang-seni’, kerjasama bersama kumpulan seni yang pelbagai dan berbeza.
Presiden dan Pengarah Artistik Orkestra Melayu Singapura (OMS), Zulkifli Mohamed Amin, bercita-cita menjadikan OMS sebagai pencetus ekosistem sihat yang dapat saling membangunkan dan memperkasa kumpulan seni Melayu di Singapura. Beliau mahu merancakkan semangat ‘silang-seni’, kerjasama bersama kumpulan seni yang pelbagai dan berbeza. - Foto ihsan ZULKIFLI MOHAMED AMIN

Selain perubahan aturan ruang yang kini perlu dikongsi, terdapat beberapa perubahan operasi yang OMS kendalikan.

Antaranya adalah aspek kewangan yang diuruskan oleh mereka sendiri secara keseluruhan serta aspek kajian demi pembangunan OMS dan beberapa kumpulan seni lain.

Mengulas lanjut tentang keputusan OMS untuk bergerak sebagai kumpulan seni yang bebas dan berdikari, Zulkifli berkata:

“Kami telah berada di bawah naungan Persatuan Rakyat (PA) sejak 1991 dan telah berpindah dari satu tempat ke satu tempat, dari ibu pejabat PA di Old Airport Road dan Jalan Besar ke Our Tampines Hub (OTH) dan WGS.

“Apabila kita berpindah ke WGS pada 2019, ia merupakan satu titik pencapaian yang tinggi kerana WGS merupakan hab budaya yang cukup bermakna.

“Namun, pada 2024, apabila saya mula menggalas tanggungjawab sebagai Presiden OMS, kami mengambil keputusan mendaftar orkestra ini sebagai kumpulan bebas atau berdikari.

“Ini juga susulan daripada perbincangan dan rundingan bersama pihak PA dalam menentukan hala tuju OMS sebagai kumpulan bebas sekitar 2021.”

Ruang yang dikongsi Orkestra Melayu Singapura (OMS) dan Opera Academy (OA) di Wisma Geylang Serai (WGS) kini telah disediakan buat mereka di bawah Skim Ruang Seni oleh Majlis Seni Kebangsaan (NAC).
Ruang yang dikongsi Orkestra Melayu Singapura (OMS) dan Opera Academy (OA) di Wisma Geylang Serai (WGS) kini telah disediakan buat mereka di bawah Skim Ruang Seni oleh Majlis Seni Kebangsaan (NAC). - Foto ORKESTRA MELAYU SINGAPURA

Ruang yang dikongsi OMS dan OA di WGS, Tingkat 4, kini telah disediakan buat mereka di bawah Skim Ruang Seni oleh Majlis Seni Kebangsaan (NAC).

Ketika dihubungi Berita Harian (BH), Pengarah bagi Perancangan dan Pembangunan Prasarana NAC, Encik Kevin Fang, berkata pihak NAC berbesar hati OMS terus menjadi sebahagian daripada WGS.

“Sokongan NAC terhadap OMS di bawah Skim Ruang Seni kami menunjukkan komitmen kami terhadap kelestarian jangka panjang kumpulan seni di Singapura.

“Dengan menyediakan ruang khusus, kami memperkasa para seniman untuk berkarya, bekerjasama dan memajukan seni mereka dalam ekosistem yang lebih mantap dan dinamik,” katanya.

Dengan visi menjadi sebuah orkestra nasional dan penaung bagi kumpulan seni Melayu di Singapura, Zulkifli juga bercita-cita menjadikan OMS sebagai pencetus ekosistem sihat yang dapat saling membangunkan dan memperkasa kumpulan seni Melayu di Singapura.

Dengan semangat ‘silang-seni’, kerjasama bersama kumpulan seni yang pelbagai dan berbeza ingin terus dirancakkan dalam OMS.

“Hari ini, masih banyak kumpulan seni yang bergerak secara keseorangan tanpa sokongan bagi memantapkan urusan operasi mereka.

“Justeru, kerjasama harus dipertingkat bukan sahaja dengan kumpulan seni, malah, dengan beberapa lagi badan dan pertubuhan agar kita dapat meluaskan usaha bersama,” tambah beliau.

“Dengan ruang yang dikongsi bersama OA (Opera Academy), yang merupakan kumpulan seni berbeza, ia membawa manfaat yang lebih iaitu semangat serta usaha kerjasama yang lebih besar. Malah, kita sudah membuat persembahan bersama dan berlatih bersama-sama. Ini bukan sahaja merapatkan silaturahim antara penggiat seni, malah, membangkitkan semangat kekitaan dan saling menyokong antara satu sama lain.”
Zulkifli Mohamed Amin, Presiden dan Pengarah Artistik Orkestra Melayu Singapura (OMS).