SATU kajian selama dua tahun kini sedang dijalankan untuk memahami dengan lebih terperinci tahap dan laluan sampah laut dan mikroplastik di dalam dan sekitar perairan Singapura.
Hasil dari kajian itu, yang dilakukan oleh Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA), dapat digunakan untuk menyokong usulan bagi inisiatif masa depan, kata Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Kemampanan dan Sekitaran), Encik Desmond Tan di Parlimen semalam.
Beliau menjawab pertanyaan Encik Louis Ng (GRC Nee Soon) mengenai keadaan puing atau serpihan sampah laut di Singapura.
Mikroplastik merupakan zarah plastik berukuran sekitar 5 milimeter. Ia dihasilkan apabila plastik yang dibuang pecah menjadi bahan yang lebih kecil dari masa ke semasa.
Ia juga dapat dimakan oleh berbagai spesis haiwan liar karena ukurannya yang kecil. Kesan kesihatan akibat memakan mikroplastik masih belum jelas.
Encik Ng telah menimbulkan kebimbangan mengenai jumlah puing-puing laut yang mengalir ke Singapura.
Beliau berkata taman alam Khatib Bongsu yang sedang dibina mungkin akan menghadapi masalah diliputi puing-puing laut.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg