Apabila melihat ayahnya terbaring tidak sedarkan diri di Unit Jagaan Rapi (ICU), Tya Eliza Rauzan, 10 tahun, tidak dapat menahan sebak dan mengalirkan air mata di sisi ayahnya pada 9 November.

Tya dan adiknya, Lya Emilia Rauzan, 8 tahun, kemudian menulis sekeping nota berisi kata-kata semangat buat bapanya, Rauzan Rahman, untuk cepat sembuh.

Nota yang ditulis Tya Eliza Rauzan untuk ayahnya yang berada dalam ICU.
Nota yang ditulis Tya Eliza Rauzan untuk ayahnya yang berada dalam ICU. - Foto ihsan RATNAHWATY RAHMAN

“Saya harap ayah sembuh sebelum minggu depan jadi kita dapat luangkan masa bersama,” tulis Tya dalam surat tersebut.

Rauzan, 37 tahun, penerbit dan penyanyi rap, dihantar ke hospital oleh ambulans dalam keadaan tidak sedarkan diri dari rumahnya akibat kesesakan nafas pada 7 November.

Beliau kini bergantung pada mesin sokongan hayat selepas dimasukkan ke ICU di Hospital Khoo Teck Puat pada hari yang sama akibat jangkitan paru-paru serta pengumpulan cecair di paru-parunya.

Semasa dihubungi Berita Harian (BH), kakak Rauzan, Cik Ratnahwaty Rahman, 46 tahun, berkata tekanan darah adiknya semakin merosot tetapi terdapat sedikit peningkatan pada 10 November.

Rauzan juga tidak dapat bercakap dan hanya mampu membuka matanya sekali sekala.

Menurut Cik Ratnahwaty, adiknya disahkan menghidap kencing manis pada 2018 selepas beliau asyik pengsan dan mengalami penglihatan yang kurang jelas.

Sejak itu, keadaan beliau semakin merosot dan beliau mengalami lebih banyak komplikasi kesihatan.

Beliau juga mula menggunakan kerusi roda sekitar 2023 kerana keadaannya yang bertambah lemah dan mudah sakit.

“Ayah yang banyak menjaga pengurusan Rauzan seperti menolak kerusi rodanya dan menyalin lampin Rauzan,” kongsi beliau, yang merupakan satu-satunya sumber pendapatan keluarga, dan bertugas sebagai penyambut tamu.

Pada Januari 2026, ibu mereka telah pulang ke pangkuan Illahi akibat kencing manis dan kegagalan ginjal.

Justeru, beliau berkata mereka sekeluarga sedang cuba sedaya upaya untuk kekal kuat dan menyokong satu sama lain, dalam mengharungi kesukaran ini.

Rauzan mula dikenali untuk lakonan dan pengacaraannya dalam rancangan televisyen kanak-kanak Klik! dan Kids United.

Beliau kemudian mengukir nama sebagai seorang penerbit dan penulis lagu yang pernah bekerjasama dengan artis seperti Imran Ajmain dan Syed Azmir Syed Azman.

Antaranya, beliau juga pernah melancarkan lagu berunsur hip-hop berjudul Tak Mudah bersama Asnida Daud, Izat Ibrahim, dan Jeffrey Zauhari pada 2022.

Mengimbau tentang hubungan Rauzan bersama anaknya, Cik Ratnahwaty berkata:

“Rauzan sangat rapat dengan anak-anaknya dan mereka akan telefon atau kirim pesanan hampir setiap hari. Mereka dah macam kawan baik.”

Kededua anaknya kini tinggal bersama bekas isterinya.

Cik Ratnahwaty berkata anak Rauzan jelas menjadi dorongannya untuk kekal kuat dan mengharungi penyakitnya.

Walaupun Rauzan tidak dapat membaca nota tersebut, Cik Ratnahwaty berkata beliau telah membacakannya kepada adiknya sebagai sokongan untuk terus mengharungi penyakit itu.

“Saya akan berada di sisi ayah selamanya,” tulis Tya lagi dalam nota yang sama.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti
Laporan berkaitan