Beliau bukan Anggota Parlimen (AP) dan peranan beliau di kawasan undi Kembangan semata-mata untuk berkhidmat kepada penduduk di kawasan tersebut secara sukarela, kata peguam, Encik Ahmad Firdaus Daud,

“Saya di sini ingin berkhidmat sebagai sukarelawan, untuk menyumbang, menyokong pasukan yang diketuai Encik Seah Kian Peng,” kata Encik Firdaus kepada Berita Harian (BH) dalam satu wawancara eksklusif pada 1 September.

Dalam wawancara yang berlangsung di kedai kopi di Blok 301 Ubi Avenue 1 sekitar 10 malam 1 September, peguam itu mengambil peluang untuk menekankan peranannya sebagai penasihat dan bukan sebagai seorang AP yang dipilih melalui pilihan raya.

Sebagai Penasihat Kedua Pertubuhan Akar Umbi (GRO) GRC Marine Parade-Braddell Heights, beliau akan memberikan sokongan kepada pasukan pemimpin akar umbi dan sukarelawan di Kembangan, di samping menyokong pasukan AP bagi GRC Marine Parade-Braddell Heights – yang terdiri daripada Speaker Parlimen Encik Seah; Menteri Negara Kanan (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Sosial dan Keluarga), Encik Goh Pei Ming; Cik Tin Pei Ling; dan Cik Diana Pang.

Ini berbeza daripada AP yang diberi mandat dan antara lain dapat menyertai perbahasan di Parlimen dan menyuarakan isu-isu rakyat kepada pihak pemerintah.

Encik Firdaus baru-baru ini dinamakan sebagai penasihat kedua Pertubuhan Akar Umbi (GRO) GRC Marine Parade-Braddell Heights, sekitar sebulan menyusuli peletakan jawatan Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, yang mewakili Kembangan sebelum ini.

Encik Firdaus berkata perbezaan antara kededua peranan AP dan penasihat amat penting sebagai penjelasan kepada komen dalam talian yang tular menyusuli laporan berita mengenai peranan baharunya itu di Kembangan.

Antara lain, terdapat komen yang menggesa agar Pilihan Raya Kecil diadakan di GRC Marine Parade-Braddell Heights, serta menyoal jika beliau menerima pampasan selaku penasihat akar umbi dan sebagainya.

“Saya rasa terdapat sedikit kekeliruan mengenai peranan saya, dan komen negatif di media sosial telah benar-benar menjejas keluarga saya,” luah Encik Firdaus, bapa dua anak yang akan menyambut ulang tahun ke-43 pada Oktober.

Menurutnya lagi, peluang untuk berkhidmat di Kembangan adalah satu amanah yang dipegang teguh oleh dirinya.

“Kalau boleh saya ingin cuba sedaya upaya untuk menjaga keperluan masyarakat di sini.

“Saya tahu saya masih orang baharu di Kembangan, ramai yang belum kenal saya, tapi bak kata tak kenal maka tak cinta kan,” tambah Encik Firdaus yang sebelum ini menggalas tanggungjawab sebagai penasihat kedua bagi pertubuhan akar umbi di Punggol.

Menambah, Encik Firdaus berkata beliau tidak menganggap dirinya sebagai pengganti Dr Faishal.

“Saya rasa memang tak boleh jadi pengganti bagi Prof Faishal, beliau sudah berjasa lebih 20 tahun.”

Dalam pada itu, meskipun perlu mengimbangi pelbagai peranan termasuk sebagai Penasihat M³+@Geylang Serai, Encik Firdaus berkongsi bahawa terdapat rancangan masa depan bagi kawasan Kembangan dan Geylang Serai.

Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Zaqy Mohamad, telah mengumumkan peranan baharu Encik Firdaus dalam satu hantaran Instagram pada 1 September.

Encik Firdaus berkongsi beliau telah mulakan usaha mendekati pegerai Geylang Serai bersama Encik Zaqy pada pagi itu.

Apabila diminta memberi perincian tentang rancangan bagi M³+@Geylang Serai, beliau enggan mengulas dengan lanjut. Namun beliau berkongsi ingin bekerjasama dengan masjid-masjid, Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu (MAEC) dan pertubuhan Melayu/Islam di sekitar kawasan itu.

Sementara itu, Encik Firdaus juga akan menghadiri Sesi Bertemu Penduduk (MPS) di Kembangan mulai Isnin, 7 September, bersama AP GRC Marine Parade-Braddell Heights, Encik Goh atau Cik Pang.

Di sesi itu, beliau bakal menyaksikan pelancaran program gunting rambut percuma baharu – satu inisiatif yang diusahakan sekumpulan tukang gunting rambut yang ingin menyumbang semula kepada masyarakat di Kembangan.

“Kita lihat bagaimana sambutan program ini, tetapi saya fikir ini merupakan sesuatu yang akan bermula Isnin (7 September), iaitu Isnin pertama September,” ujar Encik Seah.

“Saya yakin akan ada lebih banyak usaha seperti ini pada masa akan datang,” tambahnya.