SATU gerakan belia di bawah Biro Ehwal Melayu (MAB) Parti Tindakan Rakyat (PAP) telah dilancarkan semalam bagi membolehkan golongan muda Melayu/Islam yang berminat dalam politik menyampaikan keprihatinan mereka kepada penggubal dasar, dan mencetus perubahan serta mencipta huraian bersama.
Gerakan yang dinamakan MAB Muda itu akan mendekati belia untuk menjadi sebahagian proses di mana mereka akan mempunyai akses langsung kepada Anggota Parlimen (AP) Melayu/Islam untuk memperjuangkan isu yang dekat dengan hati mereka.
"MAB Muda merupakan satu wadah di mana masyarakat muda kita boleh menggembleng tenaga dan bersatu untuk mencipta bersama inisiatif-inisiatif dan mengajukan isu-isu yang penting atau genting bagi mereka," kata AP GRC Choa Chu Kang, Encik Zhulkarnain Abdul Rahim, ketika ditemui di majlis pelancaran semalam.
"Bagi kami ini adalah satu titik permulaan yang penting sebagai sebuah masyarakat selepas keluar daripada pandemik ini dan akan menghadapi cabaran yang tidak menentu secara global di mana suara-suara muda, suara-suara masyarakat pemuda-pemudi kita bukan sahaja harus didengarkan tetapi inisiatif mereka harus dilaksanakan dalam masyarakat kita," tambahnya, yang mempengerusikan gerakan itu bersama AP GRC Ang Mo Kio, Cik Nadia Ahmad Samdin.
LAPORAN SELANJUTNYA: Alu-alu penglibatan belia cipta masa depan SG bersama


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg