Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Sayap wanita PAP galak usaha perbaiki kesihatan wanita

Turut kumpul dana bantu ibu memerlukan
May 12, 2024 | 3:30 PM
Sayap Wanita PAP yang diwakili Cik Sim Ann (kanan), bertukar surat dengan OGSS yang diwakilli Dr Lim Shau Khng Jason, untuk menjalin satu kerjasama bagi membantu sekitar 3,000 wanita termasuk ibu, sepanjang tiga tahun akan datang, mengenai pelbagai topik berkaitan kesihatan.
Sayap Wanita PAP yang diwakili Cik Sim Ann (kanan), bertukar surat dengan OGSS yang diwakilli Dr Lim Shau Khng Jason, untuk menjalin satu kerjasama bagi membantu sekitar 3,000 wanita termasuk ibu, sepanjang tiga tahun akan datang, mengenai pelbagai topik berkaitan kesihatan. - Foto PAP

Wanita di Singapura, terutama golongan ibu yang memerlukan, boleh menjangka menerima lebih banyak sokongan untuk mencapai matlamat kesihatan mereka.

Ini di samping bantuan tambahan untuk meringankan kos sara hidup mereka.

Sempena Hari Ibu, Sayap Wanita Parti Tindakan Rakyat (PAP) mengumumkan satu kerjasama dengan Persatuan Perbidanan dan Sakit Puan Singapura (OGSS) yang bertujuan meningkatkan kesedaran dalam kalangan wanita mengenai isu-isu penting termasuk kesihatan.

Selain itu, ia juga akan menjayakan satu usaha mengumpul dana untuk menghulur bantuan kepada ibu yang memerlukan, dalam bentuk baucar barangan keperluan harian.

Kededua daya usaha tersebut masing-masing dijangka memberi manfaat kepada lebih 3,000 dan 4,000 wanita memerlukan di sini.

Daya usaha tersebut menggambarkan komitmen Sayap Wanita PAP untuk terus memperjuang pembangunan wanita di Singapura.

Ia seiring dengan tumpuan usahanya untuk memperjuang kesihatan dan kesejahteraan wanita, menurut Sayap Wanita PAP dalam satu kenyataan media pada 11 Mei.

Berucap pada acara tahunan sambutan Hari Ibu anjuran sayap tersebut di Catapult, Rochester Commons di Rochester Park, Menteri Negara Kanan (Ehwal Luar merangkap Pembangunan Negara), Cik Sim Ann, yang juga Pengerusi Sayap Wanita PAP, berkata:

“Ibu adalah asas keluarga kita, dan Sayap Wanita PAP ingin menggalak (kesedaran kepada) setiap ibu bahawa kesihatannya penting, bukan sahaja untuk dirinya, tetapi juga kepada mereka yang beliau jaga dan sayangi.”

Cik Sim melahirkan kegembiraan bahawa OGSS berkongsi pandangan sama dan akan bekerjasama dengan sayap tersebut untuk mendekati lebih ramai wanita dan membantu mereka menjaga kesihatan dengan lebih baik.

“Kami yakin bahawa dengan pengalaman profesional dan kedudukan anggota OGSS, disertakan Sayap Wanita PAP yang mempunyai capaian ramai, boleh membantu menghapus mitos, memperbaiki pemahaman dan menggalak tindakan positif mengenai kesihatan wanita,” ujar beliau.

Pada acara tersebut, Sayap Wanita PAP yang diwakili Cik Sim, bertukar surat dengan OGSS yang diwakilli Dr Lim Shau Khng Jason, untuk menjalin satu kerjasama bagi membantu sekitar 3,000 wanita, termasuk para ibu, sepanjang tiga tahun akan datang mengenai pelbagai topik berkaitan kesihatan, seperti kesihatan reproduktif, penjagaan ibu dan kesejahteraan mental.

OGSS memulakan usaha tersebut dengan menganjurkan satu bengkel yang membincangkan kesihatan ibu pada majlis tersebut.

Bertemakan ‘Sayap Wanita PAP untuk Ibu: Memupuk Daya Tahan, Empati dan Kesejahteraan’, acara tersebut antara lain membincangkan mengenai cabaran menjadi seorang ibu, dan mengimbangi antara tanggungjawab keluarga dengan peribadi.

Sayap Wanita PAP turut menyatakan akan terus menghulurkan bantuan kepada golongan ibu yang memerlukan.

Dengan sokongan penderma termasuk Kuil Kuan Im Thong Hood Cho, sayap tersebut menjangka dapat mengumpul sekitar $400,000 menerusi sumbangan derma, untuk membantu wanita dan ibu lemah dan memerlukan dalam masyarakat.

Lebih 4,000 ibu dijangka menerima bantuan berbentuk baucar barangan keperluan harian yang dapat membantu keluarga mereka dan meringankan kos sara hidup yang kian meningkat di sini.

“Aktivis dan Anggota Parlimen wanita kami sentiasa mendampingi mereka yang memerlukan dalam masyarakat.

“Kami bersimpati khususnya kepada ibu yang menghadapi cabaran besar dalam menjaga dan menyara keluarga mereka.

“Kami berterima kasih kepada rakan kongsi yang sefahaman, yang berupaya dan bersedia menyokong mereka dengan memberi bantuan tambahan,” kata Cik Sim. 

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg