SAYAP Wanita Parti Tindakan Rakyat (PAP) dengan kerjasama Yayasan Masyarakat PAP (PCF) telah mengumpul $637,000 bagi membentuk Pakej Ibu dan Anak untuk membantu golongan ibu dan anak yang memerlukan.
Mengumumkan demikian semasa acara sambutan Hari Ibu 2023 Sayap Wanita PAP di Singapore Flyer pada Sabtu, pengerusi Sayap Wanita PAP, Cik Sim Ann, berkata dana itu akan diagihkan kepada ibu dan anak yang memerlukan dalam bentuk baucar pasar raya.
"Setiap tahun, Sayap Wanita PAP berusaha memberi penghormatan kepada kaum ibu yang memainkan pelbagai peranan.
"Dengan kos sara hidup menjadi keprihatinan besar kini, kami telah menggembleng rakan kerja dan penyokong untuk menjalankan lebih banyak usaha bagi ibu yang memerlukan bantuan tambahan dengan perbelanjaan isi rumah mereka, lebih daripada yang ditawarkan skim bantuan rasmi.
"Ada di antara bantuan itu akan diberi secara langsung kepada kaum ibu ini manakala ada yang akan disalurkan kepada anak-anak - semua daripada isi rumah yang aktivis wanita kami komited dekati," ujarnya.
Cik Sim yang juga Menteri Negara Kanan (Ehwal Luar merangkap Pembangunan Negara) turut merakamkan penghargaannya buat pasar raya NTUC FairPrice dan Sheng Siong serta penderma lain yang tidak teragak-agak tampil menyertai usaha itu.
"Usaha bersama yang melibatkan seluruh masyarakat diperlukan bukan sahaja untuk menyokong dan mempertingkat wanita namun yang paling penting, untuk melindungi mereka juga," ujarnya.
Memberi contoh usaha yang dijalankan Anggota Parlimen dan aktivis Sayap Wanita PAP selama ini, Cik Sim turut menarik perhatian proses penguatkuasaan baru yang diumumkan pemerintah di Parlimen baru-baru ini untuk melindungi dan memulihkan keluarga dengan lebih baik, terutamanya wanita yang melalui perceraian.
"Rang Undang-undang Perubahan terhadap Keadilan Keluarga ini adalah penting kerana ia menjadikan prosiding undang-undang keluarga lebih mudah dan berkesan serta memastikan hasil pembayaran nafkah yang lebih berdaya tahan.
"Saya harap ini dapat memberi kelegaan kepada kaum ibu yang menghadapi cabaran melalui perceraian," katanya.
Di acara sambutan Hari Ibu itu, Sayap Wanita PAP turut mengumumkan projek membukukan koleksi 60 resipi yang disumbang oleh relawan masyarakat.
Dinamakan 'Cherished Family Recipe Collection' (Koleksi Resipi Keluarga yang Dihargai), Cik Sim berkata setiap resipi disulam dengan kenangan peribadi penyumbangnya.
Hadirin di acara Hari Ibu itu juga berpeluang menikmati pelbagai hidangan yang disaji daripada resipi yang disumbang itu seperti ayam kalio, jeruk kambing dan onde-onde.
Cik Sim berkata inisiatif yang diperkenal di acara itu bertujuan memberi penghormatan kepada peranan penting yang dimainkan kaum ibu dan meneruskan usaha Sayap Wanita PAP untuk memperjuang isu pembangunan wanita di Singapura.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg