Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

SBS Transit, Waymap UK lancar aplikasi pertingkat mobiliti golongan cacat penglihatan

Oct 10, 2023 | 7:06 PM
PERTINGKAT MOBILITI: Encik Joshua Tseng, anggota  Jawatankuasa Eksekutif di Persatuan Orang Cacat Penglihatan Singapura (SAVH), menggunakan Waymap-SG di stesen MRT Tampines di laluan pusat bandar, pada Selasa. Aplikasi Waymap-SG bolehkan pengguna hasilkan panduan arah langkah demi langkah dengan isyarat audio. 
PERTINGKAT MOBILITI: Encik Joshua Tseng, anggota Jawatankuasa Eksekutif di Persatuan Orang Cacat Penglihatan Singapura (SAVH), menggunakan Waymap-SG di stesen MRT Tampines di laluan pusat bandar, pada Selasa. Aplikasi Waymap-SG bolehkan pengguna hasilkan panduan arah langkah demi langkah dengan isyarat audio.  - Foto ST

Satu aplikasi pencari laluan baru yang dapat membantu golongan yang menghadapi masalah penglihatan bergerak dengan yakin dan selesa telah dihasilkan oleh SBS Transit dan Waymap UK.

Dinamakan Waymap-SG, ia merupakan aplikasi pertama seumpama itu di Asia Pasifik membolehkan pengguna menghasilkan panduan arah langkah demi langkah dengan isyarat audio untuk sampai ke destinasi mereka.

Aplikasi itu juga dapat berfungsi di lokasi dalam dan luar bangunan, mempunyai ketepatan sehingga satu meter dan bergantung pada penderia telefon untuk navigasi.

Di samping itu, aplikasi tersebut boleh berfungsi tanpa memerlukan isyarat GPS, Wi-Fi atau Bluetooth, dan ia secara automatik menyesuaikan diri dengan cara berjalan dan kelajuan pengguna. Ini menghasilkan pengalaman yang selamat dan disesuaikan untuk setiap individu.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan pada Selasa oleh SBS Transit, Memorandum Persefahaman (MOU) telah dimeterai antara SBS Transit dan Waymap untuk mencipta bersama huraian navigasi telefon pintar inovatif dan sistem pengangkutan awam yang lebih inklusif dan mudah diakses.

Setiausaha Parlimen Kanan (Kemampanan dan Sekitaran merangkap Pengangkutan), Encik Baey Yam Keng, menyaksikan pemeteraian MOU itu dan secara rasmi melancarkan aplikasi Waymap edisi Singapura.

Seorang Anggota Lembaga Jawatankuasa Eksekutif di Persatuan Orang Cacat Penglihatan Singapura (SAVH), Encik Josh Tseng, yang juga merupakan orang cacat penglihatan, memainkan peranan penting dalam pembangunan aplikasi ini.

“Waymap-SG adalah pintar dan ringkas. Yang paling penting, ia memberi peluang kepada orang senasib dengan saya untuk meneroka dunia dengan lebih mandiri. Ia membangkitkan rasa maruah kita,” kata beliau.

Sebagai permulaan, aplikasi ini akan dirintis di Pusat Tukaran Bas Tampines dan Stesen MRT Tampines Laluan Pusat Bandar.

Guide Dogs Singapore, sebuah pertubuhan yang melatih orang-orang cacat penglihatan dalam kemahiran bergerak, menyertai inisiatif itu sebagai pengguna perintis.

Pengurus Besar di Guide Dogs Singapore, Cik Vanessa Loh, berkata: “Kami berharap dapat menggabungkan penggunaan Waymap dengan latihan kami untuk meningkatkan kemampuan mencari laluan dan mobiiti para klien kami.”

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan SBS Transit, Encik Jeffrey Sim, pula berkata pihaknya berkomited untuk menjadikan pengangkutan awam dan ruang masyarakat lebih inklusif dan mudah diakses.

“Kami juga mengalu-alukan dan menggalakkan rakan kongsi masyarakat untuk menyertai inisiatif ini dengan menyelaraskan kemudahan mereka ke dalam Waymap-SG, sambil kami bergerak ke arah mencipta masyarakat inklusif,” kata beliau.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg