Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

SCDF hantar pasukan 80 pegawai bantu Myanmar yang dilanda gempa bumi

Sahut seruan junta Myanmar yang mohon bantuan antarabangsa
Mar 29, 2025 | 4:29 PM
Kontinjen Operasi Lionheart bertolak ke Myanmar pada sekitar 1.20 petang pada 29 Mac.
Kontinjen Operasi Lionheart bertolak ke Myanmar pada sekitar 1.20 petang pada 29 Mac. - Foto LIANHE ZAOBAO

Sebuah pasukan seramai 80 orang dan empat anjing pencari daripada Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) berlepas ke Myanmar pada 29 Mac untuk membantu usaha menyelamat di negara yang dilanda gempa bumi itu.

Kontinjen Operasi Lionheart itu berlepas dari Lapangan Terbang Changi pada sekitar 1.20 petang, menurut satu hantaran SCDF di media sosial.

Kontinjen kali ini melibatkan seluruh anggotanya, iaitu kali pertama sejak misi ke Turkey pada 2023, juga untuk bantuan gempa bumi, kata jurucakap SCDF kepada The Straits Times.

Satu gempa bumi dengan magnitud 7.7 pada 28 Mac telah membunuh sekurang-kurangnya 1,000 orang di Myanmar dan mencederakan lebih 2,300 yang lain, dengan angka kematian dijangka meningkat, menurut laporan terkini.

SCDF sedang menyahut seruan junta tentera negara itu dengan menghantar satu pasukan termasuk Pasukan Menyelamat dan Bantuan Bencana (Dart), doktor Anggota Perkhidmatan Negara sepenuh masa, paramedik, pakar mencari dan pakar bahan berbahaya, katanya dalam hantaran Facebook.

Kontinjen itu berada di ibu pejabat SCDF di Ubi pada pagi 29 Mac untuk satu taklimat sebelum ia berlepas dengan penerbangan Singapore Airlines, yang diatur “dengan pemberitahuan singkat”.

Pasukan itu membawa bersama mereka peralatan mencari dan menyelamat yang berkuasa bateri seperti alat memotong, memecahkan dan mengangkat, serta peranti pengesan hayat dan skop gentian optik.

Ini akan membolehkan mereka bergerak pantas ke kawasan bencana untuk kerja mencari dan menyelamat, kata SCDF.

Ketua Operasi Lionheart, Kolonel Tay Zhi Wei, berkata pada pagi 29 Mac bahawa misi itu dijangka berlangsung sehingga 14 hari “bergantung kepada keadaan”.

Mencari dan menyelamatkan mangsa yang masih hidup adalah “misi utama” tetapi pasukan 80 orang itu bersedia untuk “menyesuaikan usaha mereka berdasarkan situasi di lapangan dan keperluan masyarakat di situ”, katanya.

Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, juga berada di ibu pejabat SCDF untuk mengucapkan terima kasih kepada para pegawai yang dikerah itu dan menyertai keluarga mereka mengucapkan selamat tinggal.

Dr Faishal memberitahu wartawan: “Saya yakin mereka akan dapat melaksanakan misi itu dengan baik.”

Beliau berkata beliau “gembira dan tersentuh” ​​dengan semangat pegawai SCDF itu – yang memberitahunya bahawa mereka “sentiasa bersedia” – dan terharu dengan orang tersayang mereka yang hadir beramai-ramai di Ubi, walaupun ada yang hanya dimaklumkan pada 1 pagi pada 29 Mac.

Tiga lagi pegawai SCDF juga akan dihantar ke Myanmar sebagai sebahagian daripada pasukan tindak balas kecemasan Asean, tambah SCDF.

SCDF juga mengucapkan terima kasih kepada Singapore Airlines, ST Logistics dan pasukan Sats Singapore Hub atas bantuan pantas mereka dalam situasi “bencana besar” yang memerlukan bantuan dihulurkan secepat mungkin.

“Kami berharap semoga kontinjen Operasi Lionheart kami selamat dan berjaya dalam misi ini,” kata SCDF.

Gempa bumi pada 28 Mac itu turut melanda negara jiran Thailand, dengan gegaran dirasai di Vietnam dan China.

Ia diikuti dengan gegaran susulan magnitud 6.4 yang kuat dan beberapa gegaran lebih kecil selepas itu.

Kebanyakan kerosakan berlaku di Mandalay, pusat gempa bumi tersebut yang juga bandar terbesar Myanmar selepas Yangon.

Palang Merah Singapura (SRC) juga mengikrarkan bantuan kecemasan awal $150,000 kepada Myanmar dan Thailand pada 29 Mac.

Kumpulan kemanusiaan itu berkata ia akan melancarkan rayuan pengumpulan dana awam tidak lama lagi.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg