Kira-kira 15 hektar kawasan hutan di Sunset Way, Clementi, akan dibangunkan bagi memberi laluan kepada pembinaan perumahan awam baharu dalam beberapa tahun akan datang.

Pada 10 Julai, Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) mengumumkan rancangan pembangunan bagi Hutan Maju yang berkeluasan 23 hektar.

HDB sebelum ini telah menugaskan satu kajian alam sekitar bagi tapak hijau berkenaan – iaitu kawasan yang belum pernah dibangunkan – yang sebahagian besarnya telah dizonkan bagi pembangunan kediaman sejak 1980.

HDB menyatakan kira-kira lapan hektar daripada tapak yang dibatasi oleh Brookvale Drive, Clementi Road dan Sunset Way akan dikekalkan bagi menyediakan habitat perlindungan bagi kehidupan liar serta memudahkan pergerakan fauna.

Kawasan yang dikekalkan itu merangkumi anak sungai air tawar semula jadi dan tumbuh-tumbuhan yang mempunyai nilai biodiversiti tinggi, selain kawasan di sekitar Laluan Kereta Api Lama Jurong, dengan satu laluan alam semula jadi sepanjang empat kilometer sedang dikaji.

Menurut HDB, kumpulan pencinta alam turut dilibatkan sepanjang proses perancangan pembangunan tersebut.

Kajian yang dijalankan oleh Singapore Environmental Consultancy Solutions merekodkan 113 spesies fauna di kawasan itu.

Daripada jumlah tersebut, enam spesies, kebanyakannya burung, dikenal pasti mempunyai kepentingan pemuliharaan.

Spesies berkenaan ialah burung Barau-barau Raya (Straw-headed Bulbul), burung Hantu Tumbuk-Ketampi Biasa (Buffy Fish Owl), burung Helang-Hindik Biasa (Changeable Hawk-Eagle), burung Murai Kampung (Oriental Magpie-Robin), kelawar buluh (Bamboo Bat) dan kera ekor panjang.

Laporan itu turut menyatakan sebahagian kawasan hutan yang akan dikekalkan mungkin terjejas akibat kerja penstabilan curam di sepanjang Laluan Kereta Api Lama Jurong.

Hal itu disebabkan ia berkemungkinan melibatkan pembersihan kawasan dan kerja tanah.

Namun, tumbuhan tempatan akan ditanam semula di kawasan yang terjejas selepas kerja tersebut selesai.

Laporan itu turut mengesyorkan beberapa langkah mitigasi, termasuk mengehadkan pembersihan tumbuhan serta menjalankan pemeriksaan kehidupan liar sebelum pokok ditebang.

Hal tersebut demi mengurangkan kesan terhadap kawasan hutan yang dikekalkan serta biodiversitinya.

HDB turut menambah, tumbuhan yang mempunyai kepentingan pemuliharaan di kawasan yang akan dibangunkan akan dipindahkan dan dipelihara sebelum kerja pembinaan dimulakan.

Pembersihan tapak secara berperingkat pula akan membolehkan kehidupan liar berpindah dengan selamat ke kawasan hijau bersebelahan sebelum kerja pembinaan dijalankan.

Estet baharu itu akan menggabungkan elemen kehijauan, termasuk penanaman spesies tumbuhan tempatan Singapura.

HDB menambah, Laluan Alam Semula Jadi Clementi sepanjang dua kilometer, bersama Laluan Alam Semula Jadi Old Jurong Line, akan dibangunkan secara berperingkat.

Laluan ini bertujuan mengekalkan keterkaitan ekologi, sekali gus membolehkan kehidupan liar bergerak dengan selamat antara kawasan hijau.

Menurut HDB, langkah mitigasi akan dimuktamadkan selepas agensi-agensi berkaitan meneliti maklum balas yang diterima daripada orang ramai.

Langkah mitigasi tambahan atau keperluan pemantauan juga mungkin akan diperkenalkan.

Maklumat lanjut mengenai pembangunan estet baharu itu, termasuk jumlah unit kediaman yang akan dibina, bakal diumumkan pada waktu lain.

Laporan penuh tentang perancangan pemeliharaan warisan dan alam sekitar boleh diperolehi melalui laman web HDB InfoWEB.

Orang ramai dialu-alukan berkongsi maklum balas mereka berkenaan laporan itu dari 10 Julai hingga 6 Ogos.