Dengan kedatangan Aidiladha ini, bakal sohibul korban mempunyai pilihan menjalankan ibadah murni ini sama ada di Australia, Kemboja ataupun di Malang, Indonesia, bersama Perdaus.
Menurut Pegawai Kanan Perkhidmatan Korporat Perdaus, Cik Khatim Hamidon, peserta mempunyai dua pilihan sama ada mendermakan daging korban mereka ataupun mengambil daging tersebut bagi tempahan korban di Australia.
Proses daging korban bagi kambing biri-biri di Australia akan dilaksanakan pada 10 Zulhijah, atau pada 17 Jun 2024, iaitu hari umat Islam menyambut Aidiladha. Kemudian, daging ini akan dibungkus dan diterbangkan ke Singapura serta diproses dengan sebaiknya bagi penghantaran ke rumah, dalam masa dua minggu selepas Hari Raya Haji. Atau daging ini akan diagihkan ke Tebing Barat, Palestin, atas usaha Perdaus bersama syarikat pengendali korban, A2A Global.
Sementara itu, semua daging haiwan korban yang dijalankan di Kemboja dan Indonesia akan diagihkan keseluruhannya kepada penduduk miskin dan memerlukan di kededua negara tersebut.
“Melalui Perdaus, ibadah korban anda bukan hanya memberi manfaat melalui pendermaan daging korban kepada masyarakat Islam daif di luar negara, malah sebahagian daripada hasil ini disalurkan juga kepada usaha dakwah dan kerja kemanusiaan untuk program pembangunan belia kami.
“Ini bermaksud, anda juga menyokong Perdaus dalam memupuk kepemimpinan belia Islam, apabila sukarelawan kami ini pergi ke Malang, Indonesia, melalui program pembelajaran dan perkhidmatan, secara amnya,” jelas Cik Khatim.
Pegawai Korban Perdaus, Ustaz Abdul Rahman Abdul Aziz, turut berkata dengan pendedahan sebegini, belia Islam kita mampu menjadi belia yang progresif dan pelapis yang berjaya pada masa hadapan.
“Kami ingin memupuk pelajar dan belia kami menjadi pelapis kami suatu hari nanti, dengan kemahiran dan pengalaman yang akan memberi manfaat kepada masyarakat Singapura juga.
“Selain mengendalikan operasi korban, pelajar dan belia ini juga perlu mengagihkan daging korban serta menyerahkan barangan asas kepada penduduk kampung yang memerlukan. Oleh itu, harapan Perdaus pelajar ini akan menjadi pengganti dalam projek korban kelak, menghayati pelbagai kerja dakwah dan kemasyarakatan melalui projek yang kami jalankan selama ini.
“Contohnya, di bawah bimbingan saya, Insya-Allah kami dapat menegakkan syiar Islam dalam acara penyembelihan korban mengikuti sunah Rasulullah saw, di kampung-kampung di Malang nanti,” kata Ustaz Abdul Rahman.
Tarikh pendaftaran untuk korban dan akikah ditutup pada 10 Jun 2024 bagi semua tempahan dan 3 Jun 2024 bagi korban kambing biri-biri Australia, selagi bekalan masih ada.
1. Layari laman Perdaus di https://qurban.perdaus.org.sg
2. Perdaus menerima pelbagai cara pembayaran, termasuk tunai dan dalam talian. Hadir di pejabat Perdaus melalui janji temu sahaja:
– Imad Perdaus Bedok: Blok 125 Bedok North Road #01-115 S460125. Telefon: 8127-3729.
– Imad Perdaus Bukit Batok: Blok 364 Bukit Batok Street 31 #01-259 S650364. Telefon:6513-2300.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg