WANITA yang menceburi kerjaya dalam bidang STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik) bakal dibantu dengan sumbangan $1 juta dari Menteri Tenaga Manusia, Dr Tan See Leng.

Katanya, dana tersebut tercetus berdasarkan pengalamannya mengenali dan bekerjasama dengan ramai wanita berbakat dan berkebolehan dalam bidang seperti perubatan, farmasi dan kejuruteraan kimia.

Beliau berkata demikian dalam pengumumannya mengenai sumbangan peribadi tersebut di Universiti Teknologi Nanyang (NTU) pada Khamis (7 April).

"Semasa saya membesar, saya diberi peluang diajar oleh ramai guru wanita yang memberikan inspirasi dan sebagai pelajar perubatan, terus dibimbing oleh beberapa minda terbaik yang juga pakar klinisyen wanita," kata Dr Tan, yang mempunyai lebih 30 tahun pengalaman dalam sektor penjagaan kesihatan.

Beliau telah melancarkan dana tersebut untuk menyokong wanita dalam kerjaya STEM semasa forum memperingati ulang tahun pertama program Galakan Wanita dalam Kejuruteraan, Penyelidikan dan Sains (Tenaga), yang bertujuan merapatkan jurang antara lelaki dan wanita dalam bidang ini.

Dinamakan sempena mendiang bapanya, Encik Tan Seow Chiap, dana tersebut akan menyokong biasiswa hingga $50,000 setiap tahun bagi wanita yang ingin menjalani kursus STEM di NTU.

Ia juga akan membantu membiayai program bimbingan tahunan oleh pakar Stem bagi mahasiswa wanita dan program inkubasi yang akan memberikan geran $1,000.

Menurutnya, beberapa rakan kerjanya telah bertanya mengapa dana tersebut dinamakan sempena mendiang bapanya dan bukan ibunya.

Katanya, kesaksamaan jantina bukan isu wanita.

"Untuk membentuk Singapura menjadi masyarakat yang benar-benar adil dan inklusif, kami perlukan usaha seluruh masyarakat untuk mengalihkan pemikiran tentang peranan jantina, menolak sikap berat sebelah dan memecahkan halangan yang mengehadkan potensi wanita dan sumbangan mereka," katanya.

Dalam ucapannya semasa forum tersebut berkaitan cabaran dan huraian bagi merapatkan jurang antara lelaki dan wanita dalam bidang STEM, Dr Tan berkata hasratnya untuk menghentikan diskriminasi dalam mana-mana bentuk, khususnya terhadap wanita, dipupuk oleh ibunya.

Katanya: "Beliau menghidap penyakit kronik dan meskipun demikian, saya rasa dengan ketabahan yang tinggi beliau terus bekerja sambilan untuk cuba menyara keluarga.

"Saya rasa ini juga dipandu oleh kecekalannya dan juga azam saya untuk cuba melihat bagaimana kita boleh menyamakan kedudukan bagi semua."