Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Segelintir warga luang masa di taman, tepi pantai

Apr 12, 2020 | 5:00 PM
KESELAMATAN DIUTAMAKAN: Seorang anak kecil memakai pelitup sewaktu mengunjungi Punggol Promenade pagi tadi.
KESELAMATAN DIUTAMAKAN: Seorang anak kecil memakai pelitup sewaktu mengunjungi Punggol Promenade pagi tadi. - BERITA HARIAN

MESKI tampak lengang, tidak seperti biasanya di hujung minggu, masih lagi terdapat penduduk Singapura yang mengunjungi taman-taman di sekitar Singapura pagi tadi (12 April).

Kunjungan Berita Minggu (BM) ke Taman East Coast mendapati ramai yang ke sana merupakan keluarga yang mempunyai anak-anak kecil.

Sebilangan besar juga mengambil kesempatan untuk bersenam seperti berbasikal dan berlari-lari anak.

Suasana serupa juga dapat dilihat di kawasan Punggol Promenade, berhampiran Taman Pulau Coney.

Mereka yang dihampiri wartawan berkata mereka mengambil kesempatan untuk keluar rumah seketika agar dapat menikmati udara segar sambil bersenam.

Seorang pengunjung, Encik Patrick Lim, 42 tahun, berkata beliau memilih untuk membawa keluarganya ke Punggol Promenade kerana tempat itu tidak dikunjungi orang ramai pada waktu ini.

"Kami sebenarnya ingin ke Pulau Coney, tetapi ia telah ditutup. Jadi saya hanya membawa anak-anak saya berlari-lari anak di Punggol Promenade ini sahaja.

"Sejurus kami selesai, kami akan pulang ke rumah kami di Bedok," kata bapa tiga orang anak berusia antara lima hingga 11 tahun itu.

Sementara di Taman East Coast pula, pegawai penguatkuasaan juga dapat dilihat sedang menjalankan tugas mereka dengan menasihati pengunjung untuk mematuhi langkah jarak selamat dan agar tidak berlengah-lengah tanpa sebab.

Pemerintah telah memperkenalkan beberapa langkah lebih ketat dalam mempertingkatkan lagi usaha melindungi kesihatan dan keselamatan awam dan mengekang penularan pandemik Covid-19.

Ini termasuk tidak lagi memberi amaran tegas bertulis dan terus mengeluarkan saman $300 terhadap mereka yang melanggar langkah jarak selamat walaupun buat kali pertama mulai hari ini.

Pesalah berulang akan dikenakan denda lebih tinggi atau boleh didakwa di mahkamah bagi kes yang benar-benar salah.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg