Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Sehingga 20,000 rumah awam, privet dirancang dibina di Turf City

Pembangunan termasuk estet HDB pertama di Bukit Timah dalam 40 tahun, dijangka siap 20 hingga 30 tahun
May 23, 2024 | 7:07 PM
Lakaran artis mengenai sebuah astaka besar, atau ‘grandstand’, baru di Turf City Bukit Timah, dengan padang terbuka di hadapannya.
Lakaran artis mengenai sebuah astaka besar, atau ‘grandstand’, baru di Turf City Bukit Timah, dengan padang terbuka di hadapannya. - Foto URA

Sekitar 15,000 hingga 20,000 unit perumahan awam dan privet akan dibina di estet perumahan baru di Turf City di Bukit Timah.

Ia akan termasuk perumahan awam pertama dalam 40 tahun di Bukit Timah

Pembangunan di bekas tapak lumba kuda itu dijangka siap dalam 20 hingga 30 tahun akan datang.

Estet tersebut akan berciri “inklusif dan mudah diakses” dan menyediakan perumahan awam serta privet, kata Menteri Pembangunan Negara, Encik Desmond Lee, pada 23 Mei di Pusat Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA), semasa beliau melancarkan pameran rancangan bagi Turf City Bukit Timah.

Encik Lee berkata penambahan flat HDB di Bukit Timah akan memenuhi “aspirasi kian meningkat dalam kalangan rakyat Singapura untuk tinggal lebih dekat dengan tempat kerja mereka di bandar”.

URA menyatakan estet baru itu akan berciri kurang kereta, mesra pejalan kaki, dan dilengkapi perkhidmatan pengangkutan awam yang mencukupi serta rangkaian laluan berjalan kaki dan basikal yang baik.

Penduduk masa depan akan berada dalam jarak 10 minit berjalan kaki dari salah satu daripada dua stesen MRT – Sixth Avenue di Laluan Downtown (DTL) atau Turf City di Laluan Rentas Pulau (CRL) masa depan, lapor The Straits Times.

Stesen Turf City dijangka siap pada 2032, menurut Encik Lee.

URA menyatakan estet tersebut akan dibangunkan secara berperingkat, bermula dengan kawasan berdekatan nadi pengangkutan sedia ada di Dunearn Road, yang menempatkan stesen MRT Sixth Avenue.

Antara 1933 dan 1999, Turf City Bukit Timah adalah trek lumba kuda kedua Singapura, sebelum ia dipindahkan ke Kranji untuk mengurangkan kesesakan trafik di kawasan itu.

Sebahagian besar tapak seluas 176 hektar di Bukit Timah itu telah dikhususkan untuk kegunaan kediaman sejak pelan induk 1998 URA, dan disewakan sementara bagi kegunaan kegiatan gaya hidup dan riadah hingga akhir 2023.

Bagi menampung jangkaan pertumbuhan trafik sedang estet tersebut dibangunkan, kerja memperbaiki jalan raya akan dilaksanakan di Dunearn Road, Bukit Timah Road dan Eng Neo Avenue, menurut URA.

“Beberapa agensi juga sedang mengkaji kebolehlaksanaan dari segi teknikal dan kesan terhadap alam sekitar daripada kerja membina susur keluar baru dari Ekspreswe Rentas Pulau (PIE), arah ke Tuas, sebagai akses alternatif ke tapak tersebut, dan bagi memudahkan pengaliran trafik di kawasan itu,” kata URA.

Menurut URA, estet tersebut akan dirancang sebagai “kejiranan 10 minit”, dengan kebanyakan kemudahan, seperti kedai, kemudahan masyarakat dan rekreasi, serta taman, boleh dikunjungi dengan berjalan kaki selama 10 minit sahaja dari rumah yang bakal dibina.

Jumlah tempat letak kenderaan yang disediakan akan dikurangkan untuk “mengutamakan ruang bagi kemudahan awam, kehijauan dan perumahan”, seiring dengan rancangan mengurangkan penggunaan kenderaan di kawasan itu, tambahnya.

Sebagai sebahagian daripada perancangan tapak tersebut, dua kajian – satu bagi menilai kesan pembangunan masa depan terhadap warisan, dan satu lagi terhadap alam sekitar di kawasan itu – telah dijalankan.

Strategi utama untuk mengurangkan kesan pembangunan masa depan termasuk mengekalkan 27 bangunan dan struktur warisan di estet tersebut, selain mengekalkan sebahagian besar Hutan Eng Neo Avenue dan Hutan Bukit Tinggi.

Kajian mendapati kededua kawasan hutan itu menempatkan pelbagai spesies flora dan fauna yang wajar dipulihara.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg