Singapura mencatatkan penambahan 1,016 kes Covid-19 sehingga 12 tengah hari ini.
Sebahagian besar adalah pekerja warga asing yang menginap di asrama pekerja.
Menurut Kementerian Kesihatan (MOH), sejumlah 15 kes adalah warga Singapura atau Penduduk Tetap.
Ini menjadikan kes koronavirus di Singapura melepasi 10,000 kepada 10,141 kes.
MOH masih meneliti kes-kes ini dan akan memberikan butiran lanjut nanti.
Singapura terus menyaksikan peningkatan kes positif koronavirus sejak kebelakangan ini, dengan sebahagian besar tertumpu pada pekerja asing yang tinggal di asrama atau dormitori, susulan langkah pemerintah menjalankan ujian secara agresif bagi mengetahui lebih jelas penularan yang berlaku di sini.
MOH berkata semalam, jumlah kes baru di dalam masyarakat telah mencatat penurunan kepada purata 28 kes setiap hari minggu lalu, berbanding purata 39 kes setiap hari pada mingu sebelumnya.
Sedang jumlah kes Covid-19 di dalam masyarakat terus menurun, jumlah kes yang tidak ada kaitan belum lagi reda, menggambarkan kemungkinan adanya sekelompok besar kes yang tersembunyi, kata Perdana Menteri Lee Hsien Loong semalam.
Sejauh ini, seramai 11 orang telah terkorban di Singapura akibat Covid-19.
Demi memastikan negara ini dapat membendung penularan wabak itu, Encik Lee semalam mengumumkan langkah melanjutkan tempoh pemutus litar sehingga 1 Jun ini, dengan arahan sedia ada diperketatkan.
Ini termasuk memastikan lebih banyak tempat kerja ditutup, mengurangkan tenaga kerja yang menjalankan kerja-kerja genting.
Semua kedai makan kendiri yang menjual air, makanan ringan ditutup, termasuk kedai jual 'bubble tea', air tauhu, mahupun kedai kek seperti Bengawan Solo dan kedai aiskrim.
Kedai gunting dan dandanan rambut juga diarahkan tutup bermula tengah malam tadi.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg