Topik diikuti
Pergi ke BHkuSekatan had pinjaman diperluas kepada pembeli individu kereta sewa privet mulai 30 Okt
Sekatan had pinjaman diperluas kepada pembeli individu kereta sewa privet mulai 30 Okt
Had pinjaman maksimum sehingga 70%, had tempoh pinjaman 7 tahun; langkah bertujuan banteras kes pembeli tidak berniat tawar khidmat kereta sewa privet
Sekatan had pinjaman diperluas kepada pembeli individu kereta sewa privet mulai 30 Okt
Mulai 30 Oktober, individu yang membeli kereta yang didaftarkan sebagai kereta sewa privet (PHC) akan tertakluk kepada sekatan had pinjaman kepada nilai (LTV) maksimum dan had tempoh pinjaman yang sama seperti yang dikenakan ke atas pembeli kereta privet lain.
Bagi kumpulan pembeli ini, LTV maksimum dihadkan kepada 60 atau 70 peratus daripada harga pembelian kenderaan, bergantung kepada Nilai Pasaran Terbuka (OMV), manakala tempoh pinjaman pula dihadkan kepada maksimum tujuh tahun.
Perubahan tersebut diumumkan oleh Kementerian Pengangkutan (MOT), Penguasa Kewangan Singapura (MAS), Kementerian Tenaga, Perdagangan dan Perusahaan (METI) serta Kementerian Undang-Undang (MinLaw) dalam satu kenyataan bersama yang dikeluarkan pada 29 Oktober.
Sebelum ini, individu yang membeli kenderaan yang didaftarkan sebagai PHC dikecualikan daripada sekatan pembiayaan kenderaan, seperti had LTV dan had tempoh pinjaman, atas dasar kenderaan tersebut digunakan bagi tujuan komersial.
Bagaimanapun, agensi-agensi itu menyatakan ketetapan baharu itu perlu dibuat selepas pemerintah mendapati semakin banyak kes pembeli individu kereta privet memanfaatkan pengecualian tersebut walaupun tidak berniat menawarkan perkhidmatan PHC.
“Lonjakan pendaftaran PHC pandu sendiri milik individu baru-baru ini, iaitu sekitar 500 sebulan, memberi gambaran bahawa sesetengah pihak mungkin berbuat demikian semata-mata untuk mendapatkan syarat pembiayaan yang lebih longgar.
“Bagi memastikan pembelian PHC tidak disalah guna untuk mengelak daripada sekatan pembiayaan yang dikenakan ke atas pembeli kereta privet, pembeli PHC kini akan tertakluk kepada sekatan pembiayaan yang sama seperti pembeli kereta privet.
“Langkah ini juga akan memastikan para pemandu PHC baharu mengamalkan kewaspadaan kewangan yang sama seperti pembeli kereta privet yang lain,” ujar kenyataan itu.
Dengan perubahan ini, pembeli kenderaan yang mempunyai OMV bernilai $20,000 dan ke bawah akan tertakluk kepada LTV maksimum sebanyak 70 peratus daripada harga pembelian.
Mereka yang membeli kenderaan yang mempunyai OMV melebihi $20,000 pula akan tertakluk kepada LTV maksimum sebanyak 60 peratus daripada harga pembelian.
Pengiraan LTV ini juga mengambil kira cukai-cukai yang berkaitan serta harga Sijil Memiliki Kenderaan (COE).
Sekatan pembiayaan ini akan terpakai kepada individu yang mendapatkan pinjaman kenderaan daripada institusi kewangan serta pemberi pinjaman wang berlesen atau yang dikecualikan, bagi tujuan pembelian PHC.
Agensi-agensi tersebut turut menyatakan bahawa sekatan yang sama juga akan terpakai apabila pembiayaan dibuat dalam bentuk perjanjian sewa beli atau perjanjian jualan bersyarat.
“Sekatan pembiayaan ini akan terpakai bagi pembelian PHC milik individu, di mana perjanjian jual beli ditandatangani pada atau selepas 30 Oktober 2026.
“Sekiranya tiada perjanjian jual beli, sekatan pembiayaan akan terpakai jika COE diperoleh pada atau selepas 30 Oktober 2026,” jelas agensi-agensi itu.
Agensi-agensi itu menambah bahawa pembelian kenderaan komersial, kereta sewa privet milik perniagaan, dan motosikal akan terus dikecualikan daripada sekatan pembiayaan ini.
Buat masa ini, tiada perubahan atau sekatan dikenakan terhadap aturan pembiayaan lain, seperti pinjaman dalaman yang disediakan oleh syarikat-syarikat kenderaan.
Walau bagaimanapun, agensi-agensi tersebut menyatakan bahawa pemerintah akan terus memantau perkembangan pasaran dan mungkin mengambil langkah lanjut untuk melaksanakan sekatan yang sama pada masa hadapan.
“Pemerintah juga akan bekerjasama rapat dengan pengendali platform bagi memastikan langkah-langkah ini dilaksanakan dengan berkesan dan konsisten.
“Kami menasihatkan semua bakal pembeli kereta supaya meminjam mengikut kemampuan masing-masing dan mengelakkan skim pembiayaan yang tidak dikawal selia,” kata agensi-agensi tersebut.
Dalam satu hantaran Facebook, Penolong Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC), Cik Yeo Wan Ling, berkata beliau memahami hasrat pemerintah untuk menggalak sifat berhemat dari segi kewangan dan mencegah peminjaman berlebihan.
Pemerintah juga telah memberi jaminan bahawa pemandu yang mempunyai pinjaman sedia ada tidak akan terjejas, tambah Cik Yeo, yang juga merupakan penasihat Persatuan Kenderaan Sewa Privet Nasional (NPHVA).
Walau bagaimanapun, beliau berkata para pemandu tetap berasa bimbang memandangkan ramai antara mereka menganggap kereta sebagai sumber rezeki.
Beliau menambah sebarang perubahan terhadap cara pembiayaan kenderaan akan memberi kesan langsung kepada keupayaan pemandu untuk mencari nafkah.
Oleh itu, beliau berkata NPHVA perlu memantau dengan teliti.
Ini agar sebarang perubahan tidak akan menyebabkan pemilikan kenderaan yang mampan menjadi sukar dicapai oleh pemandu yang benar-benar memerlukannya, meningkatkan pergantungan mereka terhadap kenderaan sewa, atau menaikkan kos operasi mereka.
“NPHVA akan bekerjasama rapat dengan pemerintah sepanjang pelaksanaan langkah ini, supaya kebimbangan para pemandu kita dapat ditangani,” kata Cik Yeo, yang juga merupakan Anggota Parlimen (AP) GRC Punggol.
Kebimbangan bahawa PHC mungkin menyumbang kepada kenaikan harga COE telah menjadi topik perbincangan hangat sejak beberapa bulan dan tahun kebelakangan ini.
MOT telah berulang kali menegaskan bahawa pengendali PHC bukanlah punca utama kenaikan harga COE.
Dalam kenyataan bersama pada 29 Oktober, agensi-agensi itu menyatakan bahawa pemerintah telah menimbangkan langkah-langkah lain, seperti mewujudkan kategori COE berasingan bagi syarikat kereta sewa privet dan syarikat pajakan kereta.
Namun, agensi-agensi itu menjelaskan bahawa langkah ini berkemungkinan akan menyebabkan kadar sewaan yang lebih tinggi bagi pemandu PHC.
Ia juga boleh menyebabkan tambang yang lebih mahal bagi pengguna PHC, sekali gus merugikan golongan yang tidak memiliki kereta atau tidak boleh memandu.
Ia juga akan memerlukan peraturan yang lebih ketat dan khusus terhadap pemandu serta kenderaan perkhidmatan PHC, sekali gus mengurangkan fleksibiliti untuk memenuhi permintaan perjalanan pengguna PHC, kata agensi-agensi itu.
Pada 8 Oktober, Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) telah melancarkan sesi perundingan awam mengenai cadangan untuk menggabungkan Kategori A dan B dalam sistem COE menjadi satu kategori tunggal bagi kereta.
Di bawah cadangan tersebut, pembeli kereta yang bernilai lebih rendah akan menerima rebat sehingga $15,000, manakala pembeli kereta yang bernilai lebih tinggi pula perlu membayar surcaj sehingga $15,000.
Sesi perundingan ini akan berlangsung sehingga 2 November, dengan dapatan serta cadangan dijangka akan diperolehi pada separuh pertama 2027.
