Pelantikan Mufti Singapura di Forum Dunia
Mufti Singapura, Ustaz Dr Nazirudin Mohd Nasir, telah dilantik sebagai anggota Forum Penyelidikan dan Kajian Fatwa untuk Kaum Minoriti Islam oleh Sekretariat Agung bagi Pihak Berkuasa Fatwa Seluruh Dunia pada Oktober 2023
Forum tersebut bertujuan menangani cabaran kontemporari yang dihadapi masyarakat minoriti Islam, menyediakan penyelesaian yang berkesan, serta membincangkan langkah proaktif.
Ia juga bertujuan menjangka dan menangani halangan dan cabaran integrasi yang mungkin timbul dalam interaksi minoriti Islam dalam masyarakat mereka.
Persidangan Antarabangsa Masyarakat Gemilang 2024
Bagi terus meningkatkan pembangunan para pemimpin agama Singapura dan pembinaan gedung-gedung ilmu yang bertepatan dengan konteks, Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) akan menganjurkan edisi kedua Persidangan Antarabangsa Masyarakat Gemilang (ICCOS) pada Oktober.
Persidangan ini akan memberi tumpuan kepada semangat kewarganegaraan dan kepimpinan masyarakat yang berpandukan nilai-nilai agama, dan menyumbang kepada pembinaan gedung-gedung ilmu mengenai masyarakat Islam minoriti yang maju dalam masyarakat majmuk.
Pengiktirafan Sijil Halal
Singapura telah menandatangani memorandum persefahaman (MOU) pertamanya untuk mengiktiraf sijil halal bersama Arab Saudi.
MOU tersebut bukan sahaja membenarkan produk disahkan halal dari negara lain memasuki Singapura, malah memberi peluang kepada syarikat Singapura membawa produk disahkan halal mereka ke luar negara.
Selain itu, Muis juga telah menandatangani MOU serupa dengan Amiriah Arab Bersatu dan Jordan, dan sedang berusaha melakukan perkara yang sama dengan negara lain.
Tunas Bersama M3
Kohort pertama Tunas Bersama M3 yang terdiri daripada 13 peserta dari pelbagai badan-badan Melayu/Islam (MMO) akan menamatkan program mereka pada April. Program kohort kedua Tunas Bersama M3 bakal diumumkan dan bermula pada April juga.
Program Tunas Bersama M3 telah dilancarkan oleh Yayasan Mendaki pada 2022 untuk memupuk barisan pemimpin seterusnya bagi menerajui MMO tempatan.
Program 18 bulan itu bukan sahaja membekalkan peserta dengan ilmu pengetahuan, kemahiran dan rangkaian kenalan agar dapat menyumbang dan memimpin pertubuhan masing-masing, malah ia membantu mereka memainkan peranan kepimpinan lebih besar menjangkau masyarakat Melayu/Islam pada masa hadapan.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg