SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

Bantuan Global Ehsan Relief kian global, agih dana lebih $3.2j

Bantuan Global Ehsan Relief kian global, agih dana lebih $3.2j

Sejak diasas pada 2015, ia jalankan 435 projek kemanusiaan, bantu 800 anak yatim, bina 30 masjid dan taja 3 sekolah agama
Apr 6, 2021 | 5:30 AM

Bantuan Global Ehsan Relief kian global, agih dana lebih $3.2j

BADAN kemanusiaan Singapura, Global Ehsan Relief (GER), bermula dengan hanya satu matlamat murni untuk membantu 20 anak yatim.

Lima tahun kemudian, sesuai dengan namanya, ia kini kian berkembang menebar sayap ke peringkat global dalam usaha untuk menyumbang kepada bantuan kemanusiaan luar negara.

Bahkan sejak 2015 hingga akhir tahun lalu, GER telah mengagihkan dana sejumlah lebih $3.2 juta bagi 435 projek kemanusiaan antarabangsa.

Kebanyakan dana itu disumbang penderma Singapura - sumbangan privet dan pertubuhan tidak meraih untung (NGO) merangkumi lebih 70 peratus sumbangan tersebut.

GER juga kini memiliki lima pejabat berdaftar di Singapura, Malaysia, Indonesia, Kemboja dan Sri Lanka dan menggajikan lebih 50 kakitangan sepenuh masa.

Seramai 22 daripada mereka, dengan purata usia muda 26 tahun, bekerja di Singapura, manakala bakinya di empat pejabat luar negara.

GER turut mendapat sokongan 200 relawan dan 12 rakan kerja luar negara.

NGO Singapura itu berdaftar dengan Pendaftar Pertubuhan (ROS).

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) GER, Encik Basheer Ahmad Ali, berkata badan tersebut bermula dengan membantu anak yatim di Aceh, Indonesia.

Beliau berkata terdapat 150 juta anak yatim di dunia, namun jika badan-badan sepertinya di serata dunia bergabung membantu mereka, hanya sekitar 5-10 peratus sahaja anak yatim itu dapat dibantu.

Ini memutik minat Encik Basheer untuk memulakan GER dengan memberi bantuan penjagaan kepada anak yatim sebelum berkembang untuk meluaskan bantuan kemanusiaan meliputi projek wakaf seperti membina masjid dan madrasah serta menyediakan bekalan air bersih.

"Kami bermula dengan hanya diri saya sebagai pekerja sepenuh masa dan dua relawan pada 2015. Kini kami mempunyai 50 pekerja dengan lima pejabat di lima negara.

"Fokus utama kami adalah untuk membantu anak yatim, program wakaf, dan pendidikan," kata Encik Basheer, 55 tahun, semasa ditemui di pejabatnya baru-baru ini.

GER menyewa ruang pejabat tiga setengah tingkat di 93, Joo Chiat Road.

Ruang itu dibahagikan kepada tiga jabatan - pentadbiran, pengumpulan dana dan studio Gertv bagi menghasilkan video dan kandungan media.

Sekitar 10-15 peratus daripada dana yang dikumpul daripada penderma digunakan untuk membiayai kos pentadbiran GER seperti membayar gaji pekerja dan membayar sewa pejabat.

Menceritakan permulaannya dalam kerja-kerja kemanusiaan itu, Encik Basheer berkata beliau tertarik dengan kerja-kerja tersebut semasa bertugas bersama sebuah badan lain sebelum mengambil keputusan untuk mengasaskan GER, yang kini memiliki badan pengamanahnya sendiri yang dipengerusikannya.

Dalam tempoh lima tahun sejak 2015, Encik Basheer berkata GER telah menyalurkan dana lebih $3.2 juta itu untuk membantu dan menaja 800 anak yatim dan membina 30 masjid di Indonesia, Kemboja serta negara Afrika seperti Tanzania, Cameroon dan Mali.

Kos membina kesemua masjid itu berjumlah lebih $350,000.

Dana tersebut juga disalurkan untuk menyediakan 2,800 kemudahan bekalan air bersih di lima negara, selain menaja tiga sekolah agama di Kemboja.

Ini tidak termasuk projek lain seperti bantuan kecemasan global bagi mangsa bencana seperti banjir, gempa, tsunami dan mangsa pelarian.

Sumbangan dana bagi projek ini melebihi $500,000.

Pengagihan dana untuk bantuan musiman seperti semasa Ramadan dan ibadah korban pula hampir sejuta dolar.

GER juga menjalankan bantuan pengagihan makanan dan bantuan semasa pandemik Covid-19 bagi golongan memerlukan di Singapura.

Secara keseluruhan bantuan dihulurkan GER telah memanfaatkan hampir dua juta benefisiari di 40 negara.

Menyentuh bantuan semasa pandemik, Encik Basheer berkata oleh kerana perjalanan antarabangsa tersekat dalam tempoh itu, pejabat GER dan rakan kerja di luar negara telah mengendali dan meneruskan projek kemanusiaan badan itu, meskipun terdapat beberapa terpaksa dihentikan buat sementara waktu.

Di Singapura pula sejak awal tahun lalu GER telah membantu 80 keluarga merangkumi golongan warga emas, ibu tunggal, penjagaan bayi dan golongan kurang upaya.

Bergantung kepada keadaan, setiap keluarga itu menerima bantuan purata $100-$150 dalam bentuk baucar, barangan keperluan dan wang tunai setiap bulan.

Encik Basheer kini sedang menimbangkan untuk mendapatkan status institusi bertaraf awam (IPC) dalam tempoh tiga hingga lima tahun akan datang.

Justeru sejak tahun lalu ia telah meningkatkan projek bantuan di Singapura namun beliau menegaskan fokus GER masih kepada membantu golongan anak yatim.

"Dengan restu Allah dan pasukan berdedikasi dan berbakat serta visi yang betul, kami mahu membantu seramai mungkin golongan memerlukan tidak kira bangsa mahupun agama. Dengan niat yang betul peluang itu akan sentiasa terbuka," ujarnya.

"Kami bermula dengan hanya diri saya sebagai pekerja sepenuh masa dan dua relawan pada 2015. Kini kami mempunyai 50 pekerja dengan lima pejabat di lima negara. "Fokus utama kami adalah untuk membantu anak yatim, program wakaf, dan pendidikan." - Encik Basheer Ahmad Ali, Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Global Ehsan Relief (GER).

SEKILAS TENTANG GLOBAL EHSAN RELIEF (GER)

  1. Badan kemanusiaan tidak raih untung berdaftar dengan Pendaftar Pertubuhan (ROS)
  2. Diasas di Singapura pada 2015
  3. Pengasas dan CEO, Encik Basheer Ahmad Ali
  4. Punyai visi hapuskan kemiskinan dan beri pendidikan kepada semua, selain sediakan keperluan asas bagi golongan memerlukan tanpa kira bangsa atau agama
  5. Agih dana lebih $3.2 juta bagi 435 projek kemanusiaan di beberapa negara di Asia dan Afrika
  6. Bantu 800 anak yatim, bina 30 masjid dan taja tiga sekolah agama
  7. Miliki lima pejabat, gajikan lebih 50 pekerja
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg