USAHA Dana Masyarakat mendorong masyarakat untuk sama-sama menangani Covid-19 telah membuahkan hasil.
Hasil sumbangan orang ramai dan sektor korporat Dana Invictus dan Dana Keberanian berjaya mengumpulkan sekitar $17 juta.
Penderma individu, termasuk dua individu yang mendermakan $2 juta, telah menyumbang hampir $7 juta kepada kedua-dua Dana Invictus dan Dana Keberanian.
Sejak dilancarkan pada 7 April lalu, Dana Invictus telah menerima sumbangan lebih $2 juta daripada pelbagai pertubuhan.
Dana Keberanian telah menerima lebih $8 juta. Dana yang ditadbir NCSS akan membantu individu dan keluarga yang terjejas dengan situasi Covid-19.
Dalam kenyataannya hari ini, Dana Masyarakat yang diselenggarakan oleh Majlis Perkhidmatan Masyarakat Kebangsaan (NCSS), menyatakan lebih 70 syarikat korporat telah menderma kepada kedua-dua dana tersebut, sedang 10 yang lain menyumbangkan bekalan keperluan, termasuk pelitup, cecair pembasmi kuman tangan dan pemeriksa suhu badan.
"Ramai individu juga telah menyumbang kedua-dua tunai dan barangan bagi membantu masyarakat semasa masa-masa sukar ini.Usaha bersama ini memperkukuh sektor khidmat masyarakat kami agar kita dapat memberi khidmat lebih baik kepada golongan yang terdedah kepada pandemik global ini," katanya lagi.
Satu kerjasama antara syarikat pemaju hartanah tempatan, Perennial Real Estate Holdings Limited ("Perennial") dan Shun Tak Holdings Limited ("Shun Tak") yang disenaraikan di Hong Kong telah menghasilkan sumbangan bekalan keperluan terbesar sehingga ke hari ini.
Kedua-duanya telah menyumbang lima juta pelitup dengan Perennial dan Shun Tak masing-masing menyumbang 3 juta pelitup dan 2 juta pelitup yang diagihkan ke rumah-rumah kebajikan untuk kanak-kanak, warga emas dan golongan kurang upaya selain untuk agensi yang membantu gelandangan mempunyai tempat berteduh yang ditawarkan oleh agensi khidmat masyarakat (SSA), menerusi NCSS.
Wang terkumpul membantu SSA menampung dengan lebih baik keperluan dalam menghadapi situasi Covid-19, seperti melabur dalam teknologi bagi memastikan ia dapat terus menawarkan khidmat masyarakat yang genting kepada golongan yang memerlukan.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg