Topik diikuti
Pergi ke BHkuSekitar 240 teksi boleh bawa penumpang antara S'pura, JB mulai 1 Mei

Sekitar 240 teksi boleh bawa penumpang antara S'pura, JB mulai 1 Mei
MULAI Ahad (1 Mei), penumpang yang menyeberangi Koswe boleh mendapatkan khidmat sehingga 240 teksi yang telah dibenarkan untuk membawa penumpang merentasi sempadan darat antara Singapura dengan Malaysia.
Kelihatan kerja mengecat bagi tempat meletak kereta di terminal teksi Ban San Street di Rochor adalah petanda apa yang boleh dijangkakan selepas dua tahun ia terbiar kosong.
Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) berkata sebagai respons kepada pertanyaan media bahawa ia mempersetujui permit teksi silang sempadan untuk 156 pemandu Malaysia sehingga 22 April ini. Sementara itu, pengerusi Persatuan Operator Teksi Singapura-Johor, Encik Teng Kok Tai, 71 tahun, memberitahu akhbar The Straits Times bahawa 80 pemandu teksi Singapura dalam persatuannya telah menerima permit mereka yang diluluskan Agensi Pengangkutan Awam Darat Malaysia.
LTA berkata penumpang dari Singapura yang ingin mengembara dengan teksi silang sempadan boleh menaikinya di terminal Ban San Street atau menghubungi talian hotline ComfortDelGro Taxi, Trans-Cab, Strides Taxi atau Prime Taxi.
Di bawah undang-undang yang ada kini, kenderaan berdaftar luar negara tidak dibenarkan menyediakan khidmat pengangkutan penumpang silang sempadan untuk ditempah tanpa lesen kenderaan khidmat awam..
Ini termasuk kereta sewa swasta serta operator teksi tidak formal dan khidmat kongsi kereta yang memulakan kehebohan di media sosial dan platform pesanan seperti Facebook dan Telegram selepas diumumkan bahawa sempadan darat antara Singapura dan Malaysia akan dibuka semula sepenuhnya buat perjalanan golongan divaksin lengkap pada 1 April.
Mereka yang ditangkap menyediakan khidmat penumpang silang sempadan berbayar secara haram akan didenda hingga $3,000 dan dipenjara hingga enam bulan. Kenderaan yang digunakan juga mungkin dirampas.
Hanya teksi silang sempadan Singapura berlesen boleh menyeberangi Malaysia dengan mereka boleh pergi hanya ke terminal teksi Larkin di Johor Bahru, di mana mereka boleh menunggu penumpang yang berkunjung ke Singapura.
Seiringan dengan itu, teksi Malaysia memerlukan permit untuk memasuki Singapura dan mereka boleh melalui perjalanan hingga ke terminal teksi Ban San Street sahaja.
Sebelum Covid-19, teksi silang sempadan mengenakan bayaran tetap dengan perjalanan dari Ban San Street ke Larkin berharga $48 bagi setiap teksi. Encik Teng berkata anggotanya akan mengenakan bayaran yang sama mulai 1 Mei tetapi persatuan itu telah memohon kepada Majlis Pengangkutan Awam Singapura (PTC) agar menaikkan tambang kepada $15 setiap orang atau $60 setiap teksi.
PTC berkata ia telah menerima e-mel daripada persatuan itu pada 26 April yang memberitahu majlis itu tentang rancangannya untuk mengubahsuai tambang.
Namun di bawah rangka kerja pengaturan yang berkuatkuasa pada Oktober 2020, mereka yang mengendalikan operasi khidmat teksi Singapura-Johor akan diperlukan untuk mengemukakan rancangan berkenaan sekurang-kurangnya 28 hari sebelum membuat perubahan tambang, kata PTC.
Mereka juga perlu memaklumkan perubahan sekurang-kurangnya tujuh hari lebih awal.
Ini bermaksud persatuan ini kemungkinan dapat menaikkan tambang hanya pada 24 Mei atau selepas itu.