KANAK-KANAK warga Singapura yang berusia hingga enam tahun akan menerima tokokan $200 dalam Akaun Pembangunan Anak (CDA) mulai pertengahan bulan depan.
Sekitar 250,000 kanak-kanak dijangka dapat memanfaatkan tokokan itu.
Dana dalam CDA boleh digunakan bagi perbelanjaan pendidikan dan kesihatan anak itu atau adik-beradiknya di sekolah, pusat jagaan kanak-kanak, klinik dan hospital yang berdaftar.
Tokokan itu merupakan sebahagian daripada Pakej Sokongan Isi Rumah yang diumumkan semasa Belanjawan tahun ini untuk memberi lebih sokongan kewangan kepada keluarga bagi anak mereka.
Tokokan itu akan dikredit langsung ke dalam akaun anak itu.
Ibu bapa yang layak akan dimaklumkan sekiranya tokokan kepada akaun anak mereka itu berhasil.
Ibu bapa yang belum menubuhkan CDA bagi anak mereka perlu melakukan demikian selewat-lewatnya 30 Jun tahun depan supaya anak mereka boleh menerima tokokan tersebut.
Mei lalu, kanak-kanak warga Singapura yang berusia tujuh hingga 20 tahun menerima tokokan $200 kepada akaun Edusave atau Akaun Pendidikan Posmenengah (PSEA) mereka.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg