Sekitar 26,200 pegawai Home Team terima vaksin Covid-19 sejauh ini
Sekitar 26,200 pegawai Home Team terima vaksin Covid-19 sejauh ini
SEKITAR 26,200 pegawai Home Team telah menerima dos pertama vaksin Covid-19 sehingga kelmarin.
Daripada jumlah itu, 19,058 pegawai menerima dos kedua, kata Kementerian Dalam Negeri (MHA) dalam satu kenyataan semalam.
Latihan vaksinasi bermula dengan 80 pegawai yang terlibat dalam operasi penjagaan kesihatan barisan hadapan menerima vaksin pada 11 Januari.
Mereka adalah di antara sekitar 1,050 yang diberi vaksin terdahulu, termasuk pegawai Khidmat Perubatan Kecemasan Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF), kakitangan dari Divisyen Khidmat Perubatan Home Team dan pegawai barisan hadapan lain.
Pemimpin kanan dari pelbagai perkhidmatan di bawah MHA juga diberi vaksin antaranya ialah Pesuruhjaya Polis Hoong Wee Teck, yang menerima suntikan keduanya di Akademi Home Team pada 17 Februari lalu.
"Pengambilan vaksin bukan hanya melindungi diri kita sendiri, orang yang kita sayangi dan rakan-rakan kita dari Covid-19, tetapi juga meningkatkan keupayaan nasional kita dalam memerangi virus tersebut," katanya.
Merujuk kepada kadar pengambilan vaksin yang tinggi di kalangan pegawai SCDF, Pesuruhjaya SCDF Eric Yap berkata ia adalah pernyataan yang jelas tentang tekad dan komitmen pasukan itu bersama agensi Home Team yang lain untuk melindungi negara dari Covid-19.

