Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Sekitar 40 warga S’pura dalam senarai Notis Merah Interpol

Jan 9, 2025 | 12:27 PM
Notis merah merupakan permohonan kepada pihak berkuasa undang-undang serata dunia untuk menjejak dan memberkas seseorang sementara menantikan proses diekstradisi, diserahkan, atau dikenakan tindakan undang-undang lain.
Notis merah merupakan permohonan kepada pihak berkuasa undang-undang serata dunia untuk menjejak dan memberkas seseorang sementara menantikan proses diekstradisi, diserahkan, atau dikenakan tindakan undang-undang lain. - Foto ST

Sekitar 80 individu yang dikehendaki dalam senarai Notis Merah Interpol mempunyai kaitan dengan Singapura, termasuk sekitar 40 warga Singapura.

Ini didedahkan Menteri Ehwal Dalam Negeri, Encik K. Shanmugam, dalam jawapan bertulis Parlimen pada 7 Januari.

Ia merupakan respons kepada soalan yang dikemukakan oleh Cik Sylvia Lim (GRC Aljunied), Encik Louis Chua (GRC Sengkang), dan Cik He Ting Ru (GRC Sengkang) mengenai Notis Merah Interpol.

Notis merah merupakan permohonan kepada pihak berkuasa undang-undang serata dunia untuk menjejak dan memberkas seseorang sementara menantikan proses diekstradisi, diserahkan, atau dikenakan tindakan undang-undang lain.

Ia bukan waran tangkap, tetapi satu amaran di peringkat antarabangsa berkaitan individu yang dikehendaki, dikeluarkan atas permintaan sesebuah negara anggota, kata Encik Shanmugam.

Beliau menambah bahawa Notis Merah tidak memberi kuasa secara automatik kepada polis untuk menangkap individu tersebut, dan polis hanya boleh berbuat demikian jika terdapat permintaan ekstradisi, atau penyerahan balik seseorang yang disyaki penjenayah, yang dibuat di bawah perjanjian ekstradisi.

“Jika negara yang mengeluarkan Notis Merah Interpol menghubungi kami, pihak penguasa berkaitan akan bekerjasama dengan mereka mengikut had yang ditetapkan undang-undang kami. 

“Kami juga boleh menghubungi mereka secara proaktif sekiranya terdapat kebimbangan keselamatan yang ketara, atau bukti mencukupi bahawa kesalahan mungkin telah dilakukan di bawah undang-undang.”

Senarai notis Interpol digunakan oleh sebahagian besar agensi penguatkuasaan undang-undang di seluruh dunia, dan orang ramai hanya diberikan akses kepada sebahagian daripada senarai itu.

Buat masa ini, laman web Interpol hanya mendedahkan lima identiti warga Singapura yang dikehendaki di dalam senarai Notis Merah, lapor The Straits Times (ST).

Mereka adalah: Siak Lai Chun, didakwa mencuri $18.7 juta; Neo Soon Joo, didakwa terlibat dalam rompakan dan penculikan; Pony Poh Yuan Nie, didakwa membantu pelajar menipu dalam peperiksaan peringkat O; serta Muhammad Ridzuan Johan dan Muhammad Faidhil Mawi, dikehendaki atas kes pembunuhan berasingan.

Encik Shanmugam berkata beliau tidak dapat berkongsi butiran lanjut mengenai Notis Merah yang dikeluarkan terhadap individu yang mempunyai kaitan dengan Singapura, kerana maklumat tersebut datang dari Interpol dan negara yang mengeluarkannya.

Namun, jika seseorang yang mempunyai kaitan dengan Singapura dikenakan Notis Merah Interpol, mereka akan disiasat dan dipantau dengan teliti, serta tindakan lanjut akan diambil jika terdapat bukti yang mencukupi, tambah Encik Shanmugam.

Jika mereka adalah warga asing, dan dianggap sebagai ancaman kepada keselamatan dan keamanan Singapura, mereka akan dikeluarkan dari negara dan mungkin juga diisytiharkan sebagai pendatang terlarang.

Encik Shanmugam berkata:

“Semua permohonan baru dan pembaharuan bagi kemudahan imigresen akan disaring menggunakan maklumat yang ada. 

“Kehadiran sebarang maklumat, termasuk Notis Merah Interpol, akan dipertimbangkan semasa penilaian.”

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg