Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Sekitar 70% pesakit wad bersubsidi tidak perlu keluarkan wang sendiri

May 11, 2023 | 5:30 AM
JAGAAN KESIHATAN BERPATUTAN: Menteri Kesihatan Encik Ong Ye Kung berkata tujuh dalam setiap 10 pesakit yang menerima rawatan wad bersubsidi tidak perlu mengeluarkan wang sendiri bagi membiayai bil hospital mereka sejauh ini. - Foto fail
JAGAAN KESIHATAN BERPATUTAN: Menteri Kesihatan Encik Ong Ye Kung berkata tujuh dalam setiap 10 pesakit yang menerima rawatan wad bersubsidi tidak perlu mengeluarkan wang sendiri bagi membiayai bil hospital mereka sejauh ini. - Foto fail -

SEKITAR 70 peratus pesakit dirawat di wad hospital bersubsidi tidak perlu mengeluarkan wang sendiri untuk menanggung kos rawatan, kata Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung, pada Rabu merujuk kepada hasil sokongan pemerintah terhadap jagaan kesihatan rakyat sejauh ini.

Beliau menambah lapan dalam setiap 10 pesakit mengeluarkan sendiri lebih kurang $100 untuk membiayai kos rawatan, sementara 90 peratus pesakit perlu mengeluarkan lebih kurang $500 untuk membayar bil hospital mereka.

Encik Ong menyatakan demikian sebagai respons kepada ucapan Anggota Parlimen Tanpa Kawasan Undi, Encik Leong Mun Wai, yang disampaikan terdahulu pada Selasa.

Encik Leong menggesa pemerintah memperuntuk lebih banyak sumber bagi menanggung kos kesihatan penduduk setaraf negara Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD).

Beliau berkata rakyat Singapura "menanggung kos jagaan kesihatan taraf negara termaju namun tidak menerima sokongan setaraf."

Encik Ong, yang menyifatkan ucapan Encik Leong sebagai satu kenyataan berunsur politik, berkata perbelanjaan lebih banyak terhadap jagaan kesihatan tidak semestinya membawa kesan kesihatan baik kepada rakyat.

"Apabila Encik Leong meminta pemerintah membelanja lebih untuk mengurangkan kos ditanggung pesakit, apa yang beliau maksudkan adalah untuk memberi lebih sokongan kepada mereka yang menerima jagaan tidak bersubsidi iaitu, mereka yang dirawat di wad kelas A atau hospital privet.

"Di situlah terdapatnya golongan yang lebih mampu dan akan menaikkan perbelanjaan kami ke taraf sama dengan negara OECD," tambahnya.

Berbanding negara OECD seperti Amerika Syarikat dan Britain, yang membelanjakan sekitar 17 dan 10 peratus Hasil Dalam Negeri Kasar (GDP), bagi kesihatan rakyat, Singapura membelanjakan empat peratus.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg