SATU jenis penipuan pancing data yang membabitkan penipu menyamar sebagai pembeli dalam platform jual beli Carousell telah muncul semula, kata polis dalam satu kenyataan semalam.
Dalam kes penipuan itu, penipu akan menyamar sebagai pembeli di Carousell dan untuk menyelesaikan pembayaran, mangsa akan disuruh meluluskan pembayaran menerusi CarouPay selepas menerima e-mel mengandungi URL oleh penipu menyamar sebagai kakitangan Carousell.
Sekurang-kurangnya 72 orang telah menjadi mangsa penipuan itu sejak Januari lalu, dengan jumlah kerugian mencecah sekurang-kurangnya $109,000, kata polis.
Polis menjelaskan penipu akan cuba mendekati mangsa menerusi Carousell dengan meluahkan niat untuk membeli barang yang dijual oleh mangsa.
Selepas mendapat persetujuan untuk menjual barang itu, si penipu akan meminta supaya bayaran dibuat menerusi CarouPay kepada akaun PayNow mangsa.
Mangsa kemudian akan menerima e-mel yang dipercayai telah dikirim oleh Carousell.
E-mel itu menandakan bahawa bayaran telah dibuat, namun mangsa disuruh mengakses sebuah pautan URL pancingan data untuk menerima bayarannya.
"Selepas menekan pautan itu, mangsa akan dibawa ke laman bank palsu di mana mereka diminta mengisi butiran perbankan dan kata laluan sekali sahaja (OTP) untuk menerima bayaran itu," kata polis.
"Mangsa hanya perasan mereka telah ditipu selepas mendapati ada beberapa transaksi yang tidak diluluskan di dalam akaun bank mereka," tambah polis.
Dalam Perangkaan Jenayah dikeluarkan Pasukan Polis Singapura (SPF) bulan lalu, penipuan pancingan data melibatkan bank adalah antara penipuan utama yang membimbangkan.
Dilaporkan terdapat 2,237 kes penipuan jenis itu pada 2021, naik 66 peratus daripada 1,340 kes pada 2020.
Jumlah wang yang dicuri menerusi penipuan itu naik lebih tiga kali ganda kepada sekurang-kurangnnya $19.4 juta tahun lalu berbanding $5.3 juta pada tahun sebelumnya.
Berbanding platform e-dagang lain seperti Shopee dan Lazada, platform Carousell kekal mencatatkan bilangan kes penipuan tertinggi, iaitu 998 kes pada 2021 atau 37 peratus, berbanding lima platform lain, dan 1,344 kes pada 2020.
"Carousell Protection yang sebelum ini dikenali sebagai CarouPay tidak akan menyuruh anda mengesahkan pembayaran menerusi e-mel atau meminta anda mendedahkan butiran langgan masuk akaun bank dalam talian menerusi laman pihak ketiga," kata polis.
Polis menasihatkan supaya orang ramai sentiasa mengenal pasti profil pembeli di dalam platform jual beli dalam talian dengan menyelidik status pengesahan akaun mereka, tarikh akaun itu dibuat, serta membaca reviu dan 'rating' mereka.
Orang ramai juga digesa supaya tidak menekan pautan daripada e-mel dan kiriman teks yang mencurigakan.
Selain itu, polis menasihatkan supaya sentiasa mengenal pasti kebenaran maklumat menerusi platform e-dagang atau bank secara langsung dan jangan sesekali mendedahkan butiran peribadi, perbankan dan OTP kepada sesiapa.
Maklumat terperinci berkaitan penipuan boleh didapati di laman scamalert.sg.
BERITA


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg