KIRA-KIRA 950,000 isi rumah Singapura yang tinggal di flat Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) masing-masing akan menerima rebat sehingga $190 dalam bentuk baucar cukai barang dan perkhidmatan (GSTV)-U-Save mulai Januari ini untuk mengimbangi kenaikan GST dan perbelanjaan sara hidup mereka.

Rebat itu dikeluarkan setiap suku tahun - pada bulan April, Julai, Oktober dan Januari - pada setiap tahun kewangan, dengan isi rumah yang layak menerima dua kali ganda rebat biasa U-Save mereka pada tahun kewangan ini, yang berakhir pada Mac 2023.

Isi rumah yang tinggal di flat HDB satu dan dua bilik akan menerima rebat terbesar sebanyak $190, manakala mereka di flat tiga bilik menerima $170, kata Kementerian Kewangan, pada Jumaat (30 Dis).

Rakyat Singapura yang layak dan tinggal di flat empat bilik akan mendapat $150, manakala warga yang memiliki flat lima bilik akan menerima $130. Warga yang memiliki flat eksekutif atau berbilang generasi, akan mendapat $110.

Ini adalah jumlah bil utiliti kira-kira lapan hingga 10 bulan untuk purata isi rumah di flat satu atau dua bilik, atau empat hingga enam bulan bil utiliti untuk purata isi rumah di flat tiga atau empat bilik.

Rebat U-Save atau Baucar GST tambahan ini akan dikreditkan terus ke dalam akaun utiliti yang diuruskan oleh SP Services. Selain itu, isi rumah yang tinggal di flat satu hingga lima bilik akan mendapat rebat GSTV selama 0.5 bulan untuk bayaran khidmat dan penyenggaraan (S&CC), yang akan dikreditkan ke akaun S&CC yang diuruskan oleh majlis bandaran masing-masing pada bulan Januari.

Rebat U-Save dan S&CC adalah sebahagian daripada skim GSTV kekal pemerintah dan Pakej Jaminan, yang pertama kali diumumkan pada 2020.

Usaha tambah nilai ini adalah sebahagian daripada Pakej Jaminan Pemerintah yang pertama kali diumumkan pada 2020. Pakej itu diberi rangsangan $1.4 bilion pada November untuk membantu rakyat Singapura menghadapi kenaikan GST yang akan datang pada Januari daripada 7 peratus kepada 8 peratus dan kini bernilai $8 bilion keseluruhannya.