KIRA-KIRA 950,000 isi rumah Singapura yang tinggal di flat Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) masing-masing akan menerima rebat sehingga $190 dalam bentuk baucar cukai barang dan perkhidmatan (GSTV)-U-Save mulai Januari untuk mengimbangi kenaikan GST dan kos sara hidup yang semakin meningkat.
Rebat yang dikeluarkan setiap empat bulan pada setiap tahun kewangan - pada April, Julai, Oktober dan Januari - menyaksikan isi rumah yang layak, menerima dua kali ganda rebat biasa U-Save mereka pada tahun kewangan ini, yang berakhir pada Mac 2023.
Isi rumah di flat satu dan dua bilik HDB menerima rebat terbesar sebanyak $190, manakala isi rumah di flat tiga bilik akan menerima $170, kata Kementerian Kewangan (MOF) semalam.
Rakyat Singapura yang layak dan tinggal di flat empat bilik akan mendapat $150, manakala mereka di flat lima bilik menerima $130.
Mereka yang tinggal di flat eksekutif atau berbilang generasi akan mendapat $110.
Ini adalah jumlah bil utiliti bagi kira-kira lapan hingga 10 bulan untuk purata isi rumah di flat satu atau dua bilik, atau empat hingga enam bulan bil utiliti untuk purata isi rumah di flat tiga atau empat bilik.
Rebat U-Save atau Baucar GST (GSTV) tambahan ini akan dikreditkan terus ke dalam akaun utiliti yang diuruskan SP Services.
Selain itu, isi rumah di flat satu hingga lima bilik akan mendapat rebat GSTV selama 0.5 bulan untuk bayaran perkhidmatan dan penyenggaraan (S&CC), yang akan dikreditkan ke akaun S&CC yang diuruskan oleh majlis bandaran masing-masing pada Januari ini.
Rebat U-Save dan S&CC adalah sebahagian daripada skim GSTV kekal pemerintah dan Pakej Jaminan, yang pertama kali diumumkan pada 2020.
Bagi Encik Yusof Samad, 61 tahun, yang bekerja sebagai pemandu pengangkutan di pusat jagaan warga emas, dan tinggal di HDB 5 bilik, isi rumahnya akan menerima $130 dalam rebat U-Save dan rebat S&CC setengah bulan pada Januari 2023.
Dalam bulan yang sama, isi rumahnya juga akan menerima baucar Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) sebanyak $300.
Selain itu, Encik Yusof akan menerima $250 di bawah GSTV- Tunai (Bonus Warga Emas) dan $150 ke bawah Pakej Jaminan MediSave pada Februari 2023.
Encik Yusof berkongsi bahawa beliau "menghargai usaha pemerintah dan bersyukur kerana pemerintah menjaga warga emas dengan baik".
Usaha tambah nilai adalah sebahagian daripada Pakej Jaminan Pemerintah yang pertama kali diumumkan pada 2020.
Pakej itu diberi rangsangan $1.4 bilion pada November untuk membantu rakyat Singapura menghadapi kenaikan GST yang akan datang pada Januari daripada 7 peratus kepada 8 peratus, dan kini bernilai $8 bilion keseluruhannya.
REBAT DAN BAUCAR CDC YANG AKAN DITERIMA
Selain rebat GSTV - U-Save dan S&CC pada Januari 2023, warga Singapura yang layak akan menerima faedah berikut pada bulan Januari dan Februari 2023 akan datang:


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg