Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Sekolah dibuka semula dengan langkah keselamatan yang ketat

Jun 2, 2020 | 2:45 PM
DAMPINGI PELAJAR: Menteri Pendidikan, Encik Ong Ye Kung, meluangkan masa berinteraksi dengan murid, Lim Jie Ting, di Sekolah Rendah Xingnan, apabila sekolah-sekolah di serata Singapura dibuka semula setelah ditutup sekitar sebulan demi mencegah penularan koronavirus di sini.
DAMPINGI PELAJAR: Menteri Pendidikan, Encik Ong Ye Kung, meluangkan masa berinteraksi dengan murid, Lim Jie Ting, di Sekolah Rendah Xingnan, apabila sekolah-sekolah di serata Singapura dibuka semula setelah ditutup sekitar sebulan demi mencegah penularan koronavirus di sini. - - Foto BH oleh GIN TAY

SEKARANG adalah masa yang baik untuk membuka semula sekolah memandangkan mungkin satu tahun atau lebih sebelum vaksin untuk Covid-19 ditemukan, apatah lagi hanya sedikit sahaja kes jangkitan baru dalam kalangan masyarakat, kata Menteri Pendidikan, Encik Ong Ye Kung, hari ini.

Melanjutkan tempoh penutupan sekolah akan memberi kesan besar kepada anak-anak bukan hanya dari segi akademik, tetapi juga dari segi emosi dan sosial, tambahnya.

"Kita harus ingat, pendidikan sebenarnya bukan hanya dengan mengambil peperiksaan atau mendapat gred yang baik. Ia juga (tentang) pembangunan diri, dan perkembangan sosio-emosi. Dan kita tidak harus menafikan seluruh generasi daripada melalui pengalaman itu," kata Ong.

Melangkah ke depan, Kementerian Pendidikan juga akan menyemak cara menggabungkan pembelajaran di dalam bilik darjah dan digital untuk "memanfaatkan yang terbaik dari kedua-dua dunia dalam sistem pendidikan moden", tambahnya.

Pembelajaran kendiri tidak dapat menggantikan sepenuhnya pembelajaran dalam bilik darjah, tetapi dapat memberi anak-anak masa dan ruang untuk meneroka dan belajar mengikut rentak mereka sendiri, kata Ong.

Mereka juga berpeluang untuk memenuhi rasa ingin tahu dan belajar lebih lanjut melampaui sukatan pelajaran yang disediakan.

Encik Ong menyatakan demikian semasa ditemui wartawan semasa lawatan ke Sekolah Rendah Xingnan di Jurong West pada hari ini, ketika sekolah-sekolah di seluruh Singapura membuka pintu untuk menyambut pelajar dari kohort terpilih kembali ke sekolah.

"(Kami) akan kembali ke sekolah secara beransur-ansur dan dalam keadaan berjaga-jaga dan menjadikannya selamat mungkin," katanya.

Semasa lawatannya, Encik Ong meluangkan masa bercakap dengan murid-murid yang tiba di sekolah pada waktu pagi dan menyertai kelas untuk perhimpunan pagi, yang diadakan di bilik darjah.

Setiap kohort mempunyai laluan mereka sendiri untuk pergi ke bilik darjah masing-masing. Mereka juga disediakan tandas yang dikhususkan.

Encik Ong juga mengikuti pelajaran Pendidikan Jasmani untuk murid di Darjah 6, yang dijalankan di dewan sekolah oleh seorang guru yang memakai pelindung muka dan menggunakan mikrofon.

Murid diajar cara menanggalkan pelitup dan memasukkannya ke dalam beg yang boleh ditutup semula untuk disimpan dan dipakai semula selepas selesai sesi pembelajaran.

Encik Ong juga menyertai sekumpulan murid-murid Darjah 5 semasa waktu rehat.

Di sekolah-sekolah serata negara, pembelajaran di bilik darjah hanya dijalankan hanya untuk kohort Darjah 6, Menengah 4 dan 5.

Mereka yang berada di Darjah 4 dan 5 dan Menengah 1 dan 2 juga akan berada di sekolah pada hari Selasa tetapi mereka akan bergilir setiap minggu - mengikuti pembelajaran sama ada di rumah atau di dalam bilik darjah.

Sehingga 50 peratus pelajar di maktab rendah dan Institut Millennia dapat kembali ke sekolah, dengan keutamaan diberikan kepada pelajar yang akan menduduki peperiksaan tamat sekolah. - The Straits Times

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg