Topik diikuti
Pergi ke BHkuSekolah, guru dilatih kenal pasti pelajar risiko jadi radikal sendiri dalam talian
Sekolah, guru dilatih kenal pasti pelajar risiko jadi radikal sendiri dalam talian
MOE akan terus perkukuh usaha lindungi pelajar daripada radikalisasi
Sekolah, guru dilatih kenal pasti pelajar risiko jadi radikal sendiri dalam talian
Sekolah dan guru dilatih untuk mengenal pasti pelajar yang mungkin berisiko mengalami radikalisasi sendiri dalam talian, kata Kementerian Pendidikan (MOE) dalam satu kenyataan pada 27 Julai.
Sebagai contoh, kaunselor sekolah bekerjasama rapat dengan guru dan kakitangan sekolah yang lain untuk memerhatikan pelajar yang mungkin berisiko, supaya intervensi tepat pada waktunya dapat diberikan apabila kebimbangan dikenal pasti, tambah MOE.
“Pemimpin sekolah dan guru juga dibimbing mengenai pengendalian kes sedemikian secara pantas.
“Ini termasuk memberikan bimbingan dan kaunseling yang tepat pada waktunya agar isu berkenaan dapat ditangani sebelum ia melarat ke peringkat yang lebih serius,” kata MOE.
Langkah tersebut merupakan antara usaha berterusan MOE untuk kekal berwaspada dan menangani ancaman radikalisasi sendiri dalam kalangan belia.
“MOE memandang amat serius isu radikalisasi sendiri dalam kalangan belia.
“Sekolah dan institut pengajian tinggi (IHL) kami akan terus mempertingkat usaha untuk kekal berwaspada dan menangani ancaman radikalisasi sendiri belia,” kongsi MOE.
MOE menambah bahawa usaha menangani radikalisasi memerlukan usaha seluruh lapisan masyarakat, di mana ibu bapa, masyarakat, sekolah dan pelajar mempunyai peranan masing-masing dalam memastikan keselamatan golongan muda.
“MOE akan terus memperkukuh usaha kami dan bekerjasama rapat dengan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (ISD), rakan masyarakat serta ibu bapa untuk melindungi pelajar dan institusi pendidikan kita daripada ancaman radikalisasi belia,” kata MOE.
Kenyataan tersebut hadir pada hari pengumuman mengenai penahanan tiga belia lelaki – berusia 14, 15, dan 19 tahun – yang dikenakan Arahan Penahanan (OD) pada April, Mei, dan Jun 2026.
Pelajar menengah dua berusia 14 tahun itu merupakan yang paling muda pernah ditahan di bawah Akta Keselamtan Dalam Negeri (ISA) untuk radikal sendiri, menurut Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (ISD).
Dua belia yang lain merupakan seorang pelajar lelaki menengah empat, dan seorang pelajar lelaki di IHL.
Selain daripada latihan buat sekolah dan guru, MOE sedang dan telah mengambil langkah pencegahan serta pendidikan bagi menangani radikalisasi.
Salah satunya adalah menerusi mata pelajaran Pengajian Sosial dan Sejarah Menengah, serta Pendidikan Perwatakan dan Kewarganegaraan (CCE).
Pelajar berpeluang mempelajari kesan negatif idea melampau, prasangka dan stereotaip, selain meneroka cara untuk menanganinya.
Menerusi perbincangan yang dikendalikan oleh guru, pelajar mempertimbangkan peranan yang boleh dimainkan oleh individu dan kumpulan dalam memperkukuh kefahaman serta interaksi antara kumpulan kaum dan agama, di samping bagaimana mereka boleh menyumbang kepada pemupukan keharmonian.
Pelajaran Kesejahteraan Siber dalam CCE turut mengajar pelajar untuk menjadi pengguna ruang siber yang selamat, menghormati orang lain dan bertanggungjawab, serta menjadi pengaruh yang positif di dalam talian.
Pelajar membina kemahiran untuk mengenali risiko di dalam talian, serta mengenal pasti dan membezakan pengaruh negatif serta laman web yang tidak sesuai.
Pelajar juga diajar untuk saling menjaga antara satu sama lain dan digalakkan untuk mendapatkan bantuan daripada orang dewasa yang dipercayai seperti ibu bapa, guru atau kaunselor sekolah.
Selain itu, MOE juga telah bekerjasama dengan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (ISD) sejak 2007 untuk mengendalikan bengkel dan aktiviti menangani keganasan serta radikalisasi bagi pemimpin pelajar, pendidik dan kakitangan sekolah yang lain di sekolah rendah, sekolah menengah, maktab rendah dan IHL.
Usaha tersebut meningkatkan kesedaran peserta terhadap ancaman keganasan, tanda-tanda amaran radikalisasi, serta kepentingan membuat laporan awal.
MOE turut mengambil langkah dalam talian di mana pelajar sekolah menengah yang dapat akses kandungan dalam talian menerusi peranti pembelajaran peribadi (PLD).
Kementerian itu telah memasang aplikasi pengurusan peranti (DMA) pada semua PLD.
Ia bertujuan menyaring bahan atau kandungan dalam talian yang berunsur bantahan serta tidak kondusif untuk pengajaran dan pembelajaran, termasuk laman web yang mengandungi kandungan ekstremis.
Sekolah juga mempunyai sistem penyaringan laman web untuk menyekat akses menerusi rangkaian tanpa wayar sekolah kepada laman web dan kandungan yang tidak sesuai bagi memastikan persekitaran dalam talian yang selamat untuk pelajar.
Langkah tersebut sentiasa dikaji semula dan dikemas kini dari semasa ke semasa mengikut perkembangan persekitaran dalam talian.
MOE turut menasihati bahawa penjagaan kanak-kanak di ruang maya juga menjangkau hingga ke rumah.
“Ibu bapa dan keluarga turut memainkan peranan penting dalam memantau aktiviti dalam talian anak-anak mereka di rumah serta membimbing mereka melayari ruang maya secara selamat dan bertanggungjawab,” kata MOE.
MOE juga telah bekerjasama dengan sekolah dan IHL untuk mengendalikan bengkel, perbincangan berasaskan senario, simulasi dan latihan berhubung potensi ancaman dari luar dan dalam sekolah.
Sesi itu merangkumi tindakan respons segera, mengenali tanda-tanda amaran, melaporkan insiden, dan tindakan susulan, bagi memperkukuh kesiapsiagaan kecemasan di sekolah.
“MOE akan terus meningkatkan tindakan respons kecemasan kami terhadap sebarang ancaman baharu yang kian berkembang,” kata MOE.