Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Sekolah menengah, JC, Institut Millennia boleh sambung CCA risiko rendah mulai 27 Julai: MOE

Jul 23, 2020 | 5:13 PM
CCA TERTENTU BOLEH DIMULAKAN KEMBALI: Antara kegitan kokurikular (CCA) yang boleh disambung semula di sekolah menengah dan maktab rendah mengikut langkah pengurusan keselamatan adalah tenis meja termasuk berpasukan iaitu dua dalam satu pasukan. - Foto FAIL HIASAN
CCA TERTENTU BOLEH DIMULAKAN KEMBALI: Antara kegitan kokurikular (CCA) yang boleh disambung semula di sekolah menengah dan maktab rendah mengikut langkah pengurusan keselamatan adalah tenis meja termasuk berpasukan iaitu dua dalam satu pasukan. - Foto FAIL HIASAN -

MULAI 27 Julai ini, sekolah menengah, maktab rendah (JC) dan Institut Millennia diberi pilihan menyambung kegiatan kokurikular (CCA) dan kegiatan sekolah lain yang berisiko rendah dengan langkah pengurusan keselamatan diberi perhatian. Bagi sekolah rendah pula, aktiviti sebegini akan hanya diizinkan pada tarikh lebih lewat, sejurus Kementerian Pendidikan (MOE) berupaya menilai kemajuan aktiviti buat pelajar di peringkat menengah, JC dan Institut Millennia. Menjelaskan demikian dalam kenyataannya hari ini (Khamis, 23 Julai), MOE berkata pihaknya telah secara progresif memulakan kembali kegiatan sekolah sejak dua bulan lalu. Menurut MOE lagi, CCA dan kegiatan sekolah yang ingin dikendalikan mestilah mengikut peraturan berikut: • Terbatas pada bilangan maksimum 20 pelajar bagi setiap kegiatan dan seberapa mampu merupakan pelajar yang sama bagi mengurangkan pergaulan dengan kumpulan pelajar lain. • Interaksi lebih rapat antara lima pelajar atau empat pelajar dibenarkan. Misalnya, lima pelajar yang ditugaskan menyiapkan program komputer dalam kelab komputer atau empat pelajar yang bermain tenis meja secara berpasukan (dua dalam satu pasukan) atau dua pelajar bersaing dengan dua lagi pelajar dalam sukan bola keranjang. • Undang-undang permainan yang diubah suai dibenarkan dengan pelajar mengekalkan jarak selamat satu meter antara satu sama lain termasuk dalam aktiviti jasmani. • Pihak sekolah akan terus menjalankan imbasan buat pengunjung ke sekolah itu termasuk jurulatih bagi mengesan tanda seperti flu iaitu demam dan batuk.

Sungguhpun begitu, MOE menjelaskan CCA dan kegiatan sekolah seperti yang melibatkan pertembungan fizikal seperti taekwondo dan ragbi akan digantung buat masa ini.

Kegiatan yang lebih terdedah pada bahan aerosol dan percikan air ludah seperti bermain alat muzik tiupan serta koir juga tidak dibenarkan.

Turut digantung adalah kegiatan yang memerlukan pertemuan antara pelajar daripada sekolah berbeza atau yang diadakan di lokasi luar sekolah.

Pihak sekolah bagaimanapun diberi MOE fleksibiliti dalam menentukan bila kegiatan sebegini ingin dimulakan semula di samping memastikan tugasan guru dan pelajar masih mampu diuruskan dengan baik.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg