KAKITANGAN sekolah, politeknik dan Institut Pendidikan Teknikal (ITE) telah melakukan ujian pantas dan mudah (FET) bagi Covid-19 sendiri sejak pertengahan Julai lalu, sementara universiti berautonomi akan mula melakukannya bulan ini dan bulan depan apabila penggal dimulakan.
Pekerja pembersihan, guru dan penjual di kantin merupakan antara mereka yang telah melakukan ujian pantas antigen (ART) bagi Covid-19 itu sendiri di bawah pemerhatian anggota kakitangan sekolah yang terlatih.
Mereka diperlukan melakukan ujian tersebut setiap 14 hari, kata Kementerian Pendidikan (MOE).
Syarat FET diperkenalkan Jun lalu sebagai sebahagian langkah bagi kakitangan yang bekerja di tempat berisiko tinggi di mana terdapat individu yang tidak memakai pelitup.
Ini termasuk guru, jurulatih dan tenaga pengajar yang berinteraksi dengan pelajar dalam suasana seperti kelas pendidikan jasmani, aktiviti sukan, kelas musik dan drama serta aktiviti ko-kurikulum seni persembahan.
Penjual makanan dan minuman seperti penjual di kantin pun mesti diuji.
Begitu juga pekerja pembersihan di sekolah yang mempunyai murid di bawah usia 12 tahun yang belum divaksinasi, yang mesti membersihkan tempat di mana aktiviti dilakukan tanpa penggunaan pelitup.
Rabu lalu, Universiti Nasional Singapura (NUS) mengumumkan ia akan menguatkuasakan FET bermula 10 Ogos, lapor The Straits Times.
Penuntut dan kakitangan NUS akan diberikan kit ART dan kekerapan ujian mereka tergantung pada status vaksinasi dan sama ada mereka tinggal di kampus.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg